Ketua UMNO Bahagian Sepang, Noorazli Said bercakap pada Malaysia Gazette mengenai pendirian bertanding di Parlimen Sepang pada PRU-15 di Shaftsburry Putrajaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 03 JUN 2022.

PUTRAJAYA – UMNO Bahagian Sepang berpendapat formula merahsiakan calon sudah lagi tidak sesuai diamalkan parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketuanya, Noorazli Said berkata, ini kerana calon yang dinamakan lebih awal mampu membuat persediaan rapi selain penerimaan mereka boleh mendapat maklum balas daripada akar umbi.

Jelas beliau, sekiranya berdepan masalah dan tidak diterima, calon itu masih boleh digantikan kerana tidak semesti calon awal itu kekal menjadi calon sehingga hari penamaan calon.

“Bagi saya, hari ini kita tidak boleh bertangguh-tangguh. Semua orang tahu pilihan raya semakin hampir, dan semua juga tahu calon itu perlu datang daripada peringkat pimpinan.

“Bagi saya hari ini sudah boleh (umum) dan jangan ada sikap silo terhadap calon. Banyak saya dengar pemimpin di atas ini bahawa belum masanya kita bercakap pasal calon.

“Apakah calon ini kita hendak perkatakan ketika sampai pada hari penamaan calon? Bagi saya jika namakan daripada sekarang senarai calon, mereka boleh bekerja. Yang kedua kalau ada protes, ia bukan datang dengan syarat saya bagi si polan jadi calon, sah sampai hari penamaan menjadi calon si polan itu.

“Tetapi bila kita namakan si polan ini, kita boleh bekerja, mendekati rakyat, harus melakukan program dan berdamping dengan masyarakat. Tetapi jika perkara ini tidak dilakukan, sampai masanya nanti pihak pimpinan berhak untuk menukar. Jadi jika ada masalah dengan calon ini jika ada, kita dapat perbaiki,” katanya ketika ditemubual MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Noorazli menambah, beliau setuju UMNO perlu memperkenalkan calon tetapi tidak semesti calon awal kekal menjadi calon.

Namun katanya, itu lebih baik daripada rakyat berteka-teki selain pemimpin yang bekerja tidak dapat jadi calon dan orang yang kenalan atau pilihan kepada pemimpin tertentu yang jadi calon.

“Ini akan jadi masalah. Bagi saya formula merahsiakan calon tidak lagi sesuai dan kita di Selangor kalau boleh hasil lebih ramai ikon muka baharu kerana sampai hari ini kita belum nampak siapa boleh diketengahkan sama ada jadi Menteri Besar atau Exco atau siapa yang hendak bertanding di Dewan Undangan Negeri dan Parlimen.

“Ini masih lagi jadi teka teki dan di peringkat Perhubungan Negeri pun kita tidak bincang lagi tentang perkara ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast