Foto Instagram Jasmin Hamid.

KUALA LUMPUR – Pelakon Jasmin Hamid yang kini dirawat di Unit Penjagaan Koronari (CCU) di sebuah hospital berkongsi pengalamannya ketika mengalami serangan jantung pada Selasa lalu.

Jasmin, 48, menerusi aplikasi TikTok berkata, dia tidak sangka terkena serangan jantung kerana mengamalkan gaya hidup dan pemakanan sihat.

“Selepas berjumpa Datuk Eizlan Yusof, saya sedang mengemas di dapur. Kemudian saya mula rasa kurang selesa seperti hendak pitam, yang mana tangan, muka dan rahang terasa kebas. Manakala kepala dan perut saya juga terasa sakit.

“Saya terus masuk ke dalam bilik kerana suami dan anak sudah tidur. Takut apa-apa terjadi saya berseorangan di ruang tamu. Peluh dingin sudah membasahi seluruh tubuh.

“Kemudian saya cuba tidur namun tidak mahu lelap. Saya makan ubat kerana mula rasa sakit-sakit badan kerana sebelum ini saya terkena diarrhea.

“Rupanya saya terlupa, arwah mak saya dulu dia sakit perut. Rupanya itu adalah tanda-tanda sebelum terkena serangan jantung,” kata Jasmin.

Kebanyakan peminat mendoakan kesejahteraan dan kesembuhan pelakon itu.

“Saya tidak suka tinggal di hospital, terima kasih semua kerana mendoakan kesihatan saya kembali pulih. Suami hanya boleh berada di sisi ketika waktu melawat sahaja.

“Saya berlapang dada dan menganggap ini adalah ujian daripada Allah SWT. Doakan saya cepat sembuh dan boleh keluar hospital secepat mungkin,” kata Jasmin.

Terdahulu, berita itu dikongsikan suami Jasmin iaitu Nazmir Abd Rahim, 36, menerusi hantaran dimuatnaik di Instagram Jasmin memohon orang ramai dan pengikut pelakon itu sama-sama mendoakan kesihatannya kembali pulih.

Jasmin dan Nazmir yang juga pembantu peribadinya melangsungkan pernikahan di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan pada 19 November tahun lalu selepas lebih 10 tahun bergelar ibu tunggal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast