Ahmad Shabery Cheek

KUALA LUMPUR – Sebenarnya yang tak mahu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan awal adalah mereka yang serik selepas ‘kena teruk’ di Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor.

Pihak-pihak itu ialah Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) dakwa Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Chek.

Bukan itu sahaja, UMNO juga mahu pindaan Undang-Undang Anti Lompat Parti disegerakan kerana parti ini paling terkesan dengan aktiviti lompat parti.

Beliau menjawab kenyataan peguam yang juga aktivis, Datuk Ambiga Sreenevasan yang mendakwa hanya dua individu dalam UMNO yang mendesak diadakan pilihan raya.

Kata Ambiga, mengadakan pilihan raya secepat mungkin dan sebelum pindaan Akta Lompat Parti dibuat adalah tidak bertanggungjawab selain rakyat sedang bergelut sekarang.

Ahmad Shabery yang membidas kenyataan itu bertanya adakah Ambiga tidak mengikuti Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini dan Konvensyen Barisan Nasional.

Tegas beliau, sewaktu ramai Ahli Parlimen UMNO masuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PH pun sokong sahaja.

Malah sindirnya, Ambiga pun diam sahaja.

Ambiga bising apabila ramai tinggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Kerajaan PH lingkup.

Ahmad Shabery mengakui betul rakyat susah sekarang tetapi lagi lambat pilihan raya diadakan mungkin lagi susah.

”Susah nak betulkan dasar-dasar yang dikendalikan oleh kementerian yang diterajui oleh menteri yang partinya berbeza dan yang nak mengalahkan kamu.

”Dulu pun ramai kata kerajaan ini dibentuk tanpa mandat dari rakyat yang jelas. Jadi elok kita serah kepada rakyat untuk tentukan siapa yang lebih mampu menentukan masa depan mereka.

”Atau nak tunggu sampai rakyat lupa janji PTPTN dan toll free PH?,” katanya. – MalaysiaGazette