Keadaan sebuah BMW dipandu lelaki yang dipercayai diserang sawan sebelum merempuh sembilan kenderaan lain yang sedang menunggu lampu isyarat di Jalan Tun Abdul Razak, Lebuh Ayer Keroh, Melaka, malam tadi.

MELAKA – Enam cedera termasuk seorang wanita patah hidung dalam nahas melibatkan 10 buah kenderaan dirempuh pemandu BMW yang dipercayai diserang sawan di Jalan Tun Abdul Razak, Lebuh Ayer Keroh di sini malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Amran@Mohamad Zaki Omar berkata, dalam kejadian pukul 9.14 malam itu, semua mangsa ketika itu menunggu di simpang empat lampu isyarat Taman Chiptaco berhadapan sebuah pasar raya.

Keadaan Perodua Kenari yang remuk dalam nahas melibatkan 10 buah kenderaan yang sedang menunggu lampu isyarat di Jalan Tun Abdul Razak, Lebuh Ayer Keroh, Melaka, malam tadi.

 

Siasatan awal mendapati ketika sedang menunggu lampu isyarat bertukar hijau, sebuah BMW dipandu lelaki berusia 38 tahun yang turut berhenti tiba-tiba diserang sawan menyebabkan dia tertekan pedal minyak.

“Ia menyebabkan kenderaannya meluncur laju sebelum merempuh beberapa kenderaan lain yang sedang berhenti di hadapannya. Pemandu berkenaan kemudian sekali lagi diserang penyakit itu menyebabkan berlaku rempuhan kedua.

Kerosakan 10 buah kenderaan berpunca daripada seorang pemandu yang dipercayai diserang sawan ketika sedang menunggu lampu isyarat di Jalan Tun Abdul Razak, Lebuh Ayer Keroh, Melaka, malam tadi.

“Ini menjadikan keseluruhan sembilan kenderaan terlibat mencederakan enam pemandu serta penumpang, selain pemandu BMW turut mengalami luka-luka,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Amran, sembilan kenderaan lain yang dirempuh adalah dua buah Perodua Myvi, Honda Jazz, Perodua Kenari, Perodua Viva, Perodua Alza, Toyota Corolla Altis, Nissan Frontier dan Proton Persona.

Lokasi nahas simpang empat lampu isyarat Taman Chiptaco berhadapan sebuah pasar raya di Jalan Tun Abdul Razak, Lebuh Ayer Keroh, Melaka.

“Nahas mengakibatkan enam mangsa iaitu pemandu dan penumpang berusia antara 20 hingga 73 tahun yang cedera ringan termasuk pemandu Perodua Kenari wanita berusia 20 tahun mengalami patah hidung.

“Kesemua mangsa menerima rawatan di Zon Hijau dan Zon Kuning Hospital Melaka dan kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – MalaysiaGazette.

1 Komen

  1. Sepatutnya masa ambil lesen kena ada medical check up..kalau fit, baru lulus lesen mcm medical check up utk grab driver. Ni yg sawan laa…yg telinga pekak laa..semua holeh dpt lesen…Seramai pegawai dan menteri, tak kan JPJ & Kem. Pengangkutan tak terfikir syarat ni dan resikonya?? Nasib baik tak ada yg mati…kalau tak, mati katak jaa…

Comments are closed.