Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong bercakap pada sidang media mengenai status 23 cadangan penambahbaikan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) di Kementerian Pengangkutan Malaysia, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 25 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan menyelar sikap hipokrit ditonjolkan oleh Pakatan Harapan (PH) terutamanya DAP dalam isu berkaitan kesesakan lalu lintas.

Ini kerana menurut Datuk Seri Wee Ka Siong yang juga Presiden MCA, ketika PH menjadi kerajaan pada 2018, mereka tidak pula bersunggguh-sungguh menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas sebaliknya lebih banyak menangguh dan menghentikan beberapa projek infrastruktur berkaitan.

Dengan menggelar PH sebagai ‘anti-pengangkutan awam’ kerana kebanyakan inisiatif kerajaan terdahulu iaitu Barisal Nasional (BN) telah diabaikan sedangkan kebanyakannya adalah alternatif mengurangkan kesesakan lalu lintas.

“Menurut Liew Chin Tong, terdapat keperluan untuk membangunkan pengangkutan awam bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas. Jadi, kenapa PH tidak selesaikan masalah kesesakan lalu lintas ini apabila berkuasa pada tahun 2018?Sebaliknya menangguh dan menghentikan beberapa projek infrastruktur pengangkutan awam?

“Apabila PH menjadi kerajaan, mereka telah mengabaikan atau membatalkan beberapa projek mega pengangkutan awam seperti HSR, RTS Link Johor-Woodlands dan projek rel Landasan Berkembar Elektrik. Malah mereka juga telah mengecilkan (downsized) projek LRT3 dengan membatalkan lima stesen dan kerja-kerja membina terowong serta mengurangkan gerabak keretapi.

“Akhirnya menyebabkan projek itu tertangguh sehingga ke tahun 2024. Pengoperasian MRT 2 juga telah ditangguhkan sehingga 16 Jun selepas PH mengabaikan projek infrarakyat tersebut.

“Sebagai kerajaan “anti-pengangkutan awam”, PH telah membatalkan banyak projek pengangkutan awam yang boleh menyelesaikan kesesakan lalu lintas.

“Tetapi sekarang apabila menjadi pembangkang, Chin Tong bersikap hipokrit atau penuh kepura-puraan dengan bertanya bagaimana untuk menyelesaikan kesesakan lalu lintas,” tulisnya dalam Facebook beliau hari ini.

Liew Chin Tong
Senator Liew Chin Tong.

Kata Ka Siong lagi, setakat ini, MOT berterusan berusaha memastikan isu kesesakan lalu lintas ini dapat di atasi.

“JPJ juga telah mengeluarkan kenyataan baru-baru ini berhubung Peraturan Larangan Waktu Terhad bagi kenderaan barangan melibatkan kenderaan berat yang memasuki Pusat Bandar KL pada waktu puncak, kebanyakan kenderaan ini tidak mengendahkan larangan tersebut dan menyebabkan kesesakan lalu lintas di Selangor dan Kuala Lumpur pada waktu puncak.

“Oleh itu saya telah mengarahkan JPJ untuk menambah tenaga kerja mereka untuk menguatkuasakan peraturan ini dengan harapan dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas. Bukan itu sahaja, kami juga akan meminta lebih ramai anggota polis trafik untuk mengawal lalu lintas di kawasan yang mengalami kesesakan teruk pada waktu puncak bagi memastikan kelancaran aliran trafik.

“Bagi jangka masa panjang pula, kita perlu meningkatkan kualiti pengangkutan awam dan mengurangkan kesesakan lalu lintas kerana bilangan kenderaan persendirian yang semakin tinggi di jalan raya,” ujarnya.

Tambah Ka Siong, Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof juga telah mengumumkan kerajaan telah meluluskan tiga projek lebuh raya baharu.

“Manakala Kementerian Wilayah Persekutuan dan DBKL juga sedang mengkaji pendekatan berbeza untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas,” katanya.

Dalam pada itu, Ka Siong persoal adakah cadangan ‘mudah’ Chin Tong yang mendesak kerajaan memberi subsidi tambahan itu mencukupi.

“Cadangan Chin Tong pula sangat mudah iaitu kerajaan mesti menyokong dan memberi subsidi untuk pengangkutan awam. Kerajaan telah memperuntukkan RM115 juta untuk pas perjalanan tanpa had My50 dan My100.

“Saya tertanya-tanya, berapakah jumlah subsidi yang perlu ditambah oleh ‘kerajaan muflis’ sebagaimana yang sering dicanang Chin Tong sebelum ini?” soalnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast