Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran kecil minggu depan apabila para pelabur terus berhati-hati dalam menghadapi jangkaan inflasi global, kata seorang peniaga.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit dijangka berlegar dalam jajaran kecil antara paras RM4.38 dan RM4.39 minggu depan berbanding dolar AS.

“Kami percaya ringgit akan terus berada pada paras semasa manakala data penting daripada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada 14-15 Jun adalah kadar inflasi bagi Mei.

“Kadar inflasi dijangka kekal tinggi di tengah-tengah keadaan pasaran buruh yang kukuh dan oleh itu Amerika Syarikat (AS) dijangka terus cenderung menaikkan kadar dalam tempoh terdekat ini,” katanya.

Pada Rabu, Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan kadar inflasi Malaysia meningkat sebanyak  2.5 peratus, disebabkan oleh kenaikan harga makanan dan bahan api pada 2021.

Kenaikan itu lebih tinggi berbanding kadar inflasi 0.7 peratus yang direkodkan semasa pra-pandemik pada 2019.

Sementara itu, rakan pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata prospek pertumbuhan global boleh menyokong dolar AS dan menyebabkan pelabur beralih daripada aset Malaysia yang lebih berisiko.

“Tahap pengukuhan ringgit dalam persekitaran kadar faedah Fed yang tinggi akan ditentukan daripada sepantas mana pemulihan ekonomi China. Dan apa yang lebih penting, berapa banyak aliran masuk ke dalam pasaran bon dan ekuiti,” katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir ini, ringgit ditutup kebanyakannya rendah apabila dolar AS mengukuh selepas hasil Perbendaharaan AS meningkat ditambah dengan data inflasi tinggi di tengah-tengah situasi harga minyak yang tidak menentu.

Bagi asas mingguan, ringgit susut berbanding dolar AS kepada 4.3870/3910 pada Jumaat daripada 4.3775/3800 pada minggu sebelumnya.

Unit tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama pada asas Jumaat ke Jumaat.

Ringgit naik sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.1947/1981 daripada 3.1962/1982 pada minggu sebelumnya dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.3728/3759 daripada 3.4450/4472.

Unit tempatan turun berbanding euro kepada 4.7143/7186 daripada 4.6905/6932 dan susut sedikit berbanding pound Britain kepada 5.5171/5221 daripada 5.5170/5201.

Pasaran ditutup pada Isnin bersempena dengan cuti umum Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong.  – MalaysiaGazette