Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri

KUALA LUMPUR – Bersandarkan Covid-19 telah beralih ke fasa endemik dan demi memulihkan kestabilan negara serta pelbagai krisis atas nama demokrasi, tidak salah jika UMNO meminta agar mandat mentadbir dikembalikan kepada rakyat semula.

Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, tindakan itu akan mematikan tohmahan Pakatan Harapan (PH) yang mencanangkan ungkapan “kerajaan pintu belakang” bagi memburuk UMNO dan Barisan Nasional (BN) mahupun Muafakat Nasional (MN) atau Perikatan Nasional (PN).

Malangnya, ujar beliau, permintaan UMNO kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu disindir Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor kononnya ‘kalut’.

“Malah, MB Kedah yang terkenal dengan sinis itu menambah api mengajukan soalan bertanya apakah BN mampu menang pilihan raya?

“Sudahlah beliau gagal memahami naratif tanggungjawab mengembalikan mandat rakyat, malah tergamak pula menyakitkan hati saudara MN tanpa rasa bersalah,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau menjawab kenyataan balas Setiausaha politik kepada Menteri Besar Kedah, Afnan Hamimi Taib Azamudden yang menempelak kenyataannya selepas menyifatkan Muhammad Sanusi sebagai “Menteri Besar pintu belakang”.

Afnan Hamimi dilaporkan berkata, tuduhan yang dilemparkan itu amat melucukan dan melencong jauh daripada konteks sebenar.

Menurut Syed Mohd Johan Rizal, pegawai Menteri Besar Kedah itu perlu fahami matlamat utama permintaan mempercepatkan PRU15.

Katanya, permintaan itu bukan kerana UMNO, BN yakin menang, tetapi rakyat perlukan sebuah kerajaan yang stabil untuk membina semula negara.

“Rakyat pula perlu dikembalikan hak mereka untuk memilih sebuah kerajaan yang diyakini mampu mengembalikan kestabilan masa depan negara.

“Lagipun, jika PRU15 diadakan selepas tamat penggal ini pun, saya percaya Pas sendiri pun yakin boleh menang dan semua parti mempunyai keupayaan yang sama.

“Yang penting, pulangkan mandat kepada rakyat dan biarkan rakyat memilih yang terbaik, khususnya untuk kerajaan Kedah,” katanya.

Kata beliau, Afnan juga perlu memahami, meminta agar PRU15 dipercepatkan tidak dibuat berasaskan persoalan boleh menang atau tidak sebagaimana dikatakan Menteri Besarnya, tetapi lebih kepada soal mandat rakyat dan amalan demokrasi di negara ini.

“Sekiranya Afnan imbas kembali detik PH tumbangkan diri sendiri tempoh hari, UMNO dan Pas senada memutuskan agar PRU15 diadakan bagi memberi peluang kepada rakyat untuk kembali memilih setelah ditipu PH pada PRU14.

“Namun, kita perlu akur bahawa Covid-19 menjadi penghalang PRU15 diadakan sebagaimana titah Yang di-Pertuan Agong,” kata beliau. – MalaysiaGazette