Sebahagian bekas perajurit bersorak semasa hadir ke program Reunion Bersama Bekas Perajurit Semalaysia ATM dan Isu-Isu Semasa Veteran ATM di Tugu Negara, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 06 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Majlis Reunion Bekas Parajurit Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mencabar Perbadanan Hal Ehwal Bekas Tentera (Perhebat) menunjukkan bukti bahawa terdapat veteran ATM yang telah berjaya menjadi jutawan pada hari ini.

Penasihat Undang-undang majlis itu, Mejar Mior Rosli Datuk Mior Jaafar berkata, malangnya tiada seorang pun veteran ATM yang berjaya dilatih Perhebat telah menjadi jutawan.

Sebaliknya menurut beliau, sekiranya ada, kejayaan veteran itu adalah hasil usaha kerasnya sendiri.

“Saya cabar Perhebat tunjuk satu orang veteran yang berjaya menjadi jutawan dilatih Perhebat, sebaliknya terdapat veteran yang maju dan kaya adalah usaha mereka sendiri.

“Jadi kita akan buat Road Map untuk veteran selama 10 tahun bermula 2022 hingga 2032. Kita tidak akan lagi minta sedekah sebaliknya akan bantu pesara ATM dan juga anak-anak mereka,” katanya.

Penasihat Undang-undang veteran ATM, Mejar Mior Rosli Mior Jaafar bercakap kepada media selepas program Reunion Bersama Bekas Perajurit Semalaysia ATM dan Isu-Isu Semasa Veteran ATM di Tugu Negara, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 06 JUN 2022.

Beliau berkata demikian kepada media selepas program Reunion Bersama Bekas Perajurit Semalaysia ATM dan Isu-Isu Semasa Veteran ATM di Tugu Negara, di sini, hari ini.

Mior Rosli mendakwa, Akta Veteran ATM telah membuat golongan pesara Angkatan itu berpecah walaupun memiliki jumlah ahli sehingga 300,000.

Beliau berkata, sekiranya semua pesara bersatu, ia mampu menjadi pertubuhan yang kuat untuk membangunkan negara tanpa perlu menjadi parti politik.

“Jumlah veteran ATM makin bertambah sehingga 300,000 lebih dan jika melibatkan pasangan, anak-anak dan tanggung saudara, kekuatan veteran mencecah dua juta orang,

“Kalau veteran bersatu dengan angka dua juta ini, kita amat kuat. Kita bukan hendak jadi parti politik sebaliknya kita hendak membangunkan negara ini.

Sebahagian bekas perajurit yang hadir ke program Reunion Bersama Bekas Perajurit Semalaysia ATM dan Isu-Isu Semasa Veteran ATM di Tugu Negara, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 06 JUN 2022.

“Ini kerana dalam ATM ia adalah self-sustained sebab kita ada apa sahaja iaitu doktor, jurutera, juruterbang, pentadbir, akauntan, semua kita ada dan boleh buat tetapi oleh kerana Akta Veteran ini kita berpecah.

“Nasib kita ini orang tengok kita macam peminta sedekah pada hakikatnya kita ada ilmu dan ada benda boleh buat,” katanya.

Sementara itu, perhimpunan itu diadakan bagi menuntut hak veteran ATM berhubung pelarasan pencen, pencen bagi veteran yang tidak berpencen, pengampunan bekas tentera diberhentikan kerana salah laku, pencen anggota sukarela yang dikerah sepenuh masa dan meminta untuk mengkaji semula pencen hilang upaya veteran. – MalaysiaGazette

Pengerusi Perhimpunan Aman Veteran ATM, Datuk Abdul Rahman Husain bercakap kepada media selepas program Reunion Bersama Bekas Perajurit Semalaysia ATM dan Isu-Isu Semasa Veteran ATM di Tugu Negara, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 06 JUN 2022.