Datuk Seri Hazani Ghazali . Foto MUHD NA'IM, 11 APRIL 2022.

SUBANG – Lebih 1,400 anggota dan pegawai polis ditugaskan di dalam dan luar luar Stadium Nasional Bukit Jalil pada perlawanan kelayakan Piala Asia 2023 antara Malaysia dan Turkmenistan esok.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, polis akan memastikan keselamatan pemain dan penonton terjamin selain prosedur operasi standard dipatuhi.

“Penugasan polis dalam kawalan lalu lintas dan keselamatan akan bermula seawal jam 4 petang Rabu ini di kawasan stadium Bukit Jalil.

“Sebagai langkah keselamatan, pemeriksaan ketat akan dilakukan sebelum pintu masuk dan juga selepas memasuki stadium yang mana petugas akan memeriksa badan mahupun beg yang dibawa masuk penonton ke dalam stadium nanti.

“Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) juga akan turut terlibat dalam penugasan kawalan ketenteraman sepanjang perlawanan itu berlangsung bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini berlaku,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Tambah beliau, persiapan kawalan keselamatan itu bukan hanya untuk dua perlawanan esok yang turut membabitkan pertembungan antara Bharain dan Bangladesh tetapi ia juga akan dilaksanakan untuk kesemua saingan peringkat Kumpulan E sehingga 14 Jun ini.

Hazani yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberitahu, polis akan menggunakan dron serta unit pengesan anjing bagi mempertingkatkan tahap keselamatan.

“Semasa pemeriksaan ke atas penonton ketika masuk ke dalam stadium, mereka akan dipastikan tidak membawa masuk barang-barang antaranya mercun,bunga api atau suar; topi keledar; laser, mancis dan pemetik Api; sebarang objek tajam besi atau kayu; senjata parang dan lain lain, minuman keras serta payung dan tongkat,” ujarnya.

Sementara itu, Hazani berkata, orang ramai digesa menggunakan pengangkutan awam untuk ke stadium dan pengguna jalan raya diminta mengelak melalui jalan-jalan sekitar stadium Bukit Jalil jika tidak menonton perlawanan tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast