MELAKA – Bilangan pelajar sekolah menengah di Melaka yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah disifatkan menakutkan dengan pelajar termuda terbabit berusia 13 tahun.
Exco Antidadah Negeri Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, hasil ujian rawak dilakukan di 77 buah sekolah menengah mendapati, hampir 40 peratus pelajar yang disaring dikesan positif dadah jenis syabu, ganja dan opiat.
Menurutnya, ia menyaksikan seramai 92 remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun daripada 315 pelajar yang disaring di 77 buah sekolah positif dadah sepanjang empat tahun lalu bermula 2017 sehingga 2020.
“Maksudnya, kira-kira 40 peratus daripada jumlah yang disaring dan ini sangat menakutkan kita. Bayangkan pergi sekolah pun mereka boleh positif dadah dan ini sesuatu yang sangat luar biasa.
“Bayangkan kalau tak pergi sekolah? Berapa ramai lagi akan positif dadah? Jadi selepas ini kita dan agensi terlibat akan mengadakan pemeriksaan rawak di sekolah dengan lebih kerap bagi mengekang penularan dadah di sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Sayangi Hidup Derita Selamanya (SHIELDS) peringkat negeri di Muzium Penjara Malaysia Melaka, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Muhamad Akmal berkata, walaupun angka pelajar terbabit dadah di Melaka mencatatkan penurunan sepanjang empat tahun lalu, namun ia masih membimbangkan kerana masih berlaku kenaikan pada tahun 2019.
“Berdasarkan rekod, pada 2017, seramai 24 pelajar sekolah menengah dikesan positif dadah tetapi turun kepada 20 kes pada tahun berikutnya namun meningkat kepada 30 pelajar pada 2019.
“Pada 2020, pelajar positif dadah berkurangan kepada 18 orang namun terbaharu kita masih belum mempunyai rekod dan adalah amat membimbangkan juga bila ada pelajar seawal usia 13 tahun juga sudah terjebak dengan dadah.
“Ini termasuklah penglibatan remaja sekolah dengan syabu yang menjadi angka tertinggi sekaligus amat merisaukan kerana ia adalah dadah sintetik yang terdedah kepada kesan psikotropik yang berpotensi mengubah serta memberi kesan kepada pemikiran normal,” katanya.
Kerajaan negeri katanya memandang serius situasi itu dan akan memastikan pelbagai usaha dilakukan bagi mencari punca bagaimana remaja sekolah boleh mengakses dadah dengan mudah.
Ia termasuklah melibatkan semua pihak diketuai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM), Jabatan Penjara Malaysia serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membanteras penyalahgunaan dadah. – MalaysiaGazette