SPM 2021 result
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2021 akan diumumkan pada Khamis 16 Jun ini.

Calon sekolah boleh mendapatkan keputusan dari sekolah masing-masing mulai pukul 10 pagi manakala bagi calon persendirian, slip keputusan akan dihantar melalui pos pada tarikh yang sama.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan berkata, di samping itu, calon sekolah dan calon persendirian juga boleh membuat semakan keputusan melalui kaedah berikut:

i. secara dalam talian di pautan myresultspm.moe.gov.my untuk mendapatkan slip keputusan peperiksaan SPM 2021 mulai pukul 10.00 pagi pada 16 Jun 2022 sehingga pukul 6.00 petang pada 24 Jun 2022; dan/atau

ii. secara sistem pesanan ringkas (SMS) untuk mendapatkan rumusan keputusan peperiksaan SPM 2021 dengan menaip SPM<jarak>NoKP<jarak>AngkaGiliran dan hantar ke 15888. Sistem ini akan diaktifkan mulai pukul 10.00 pagi pada 16 Jun 2022 sehingga pukul 6.00 petang pada 22 Jun 2022.

KPM sentiasa komited untuk terus melaksanakan yang terbaik. – MalaysiaGazette