Dr. Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR – Langkah Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengumumkan Kuala Selangor sebagai ‘daerah angkat’ kementeriannya dianggap sebagai langkah terdesak (desperado).

Penyandang kerusi Parlimen itu, Datuk Seri Dr Dzulkefly berkata, pendekatan Tengku Zafrul itu sama seperti budaya ‘cash is king’ yang dimomokkan oleh pemimpin UMNO sebelum ini.

“Setelah menyaksikan gelagat Menteri Kewangan menaburkan ‘khidmatnya’ di Kuala Selangor termasuk pengumuman meluluskan ECRL di Puncak Alam serta mengangkat daerah Kuala Selangor, sebagai ‘daerah angkat’ Kementerian Kewangan, yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana Menteri dalam sejarah lebih 60 tahun Kerajaan Perikatan dan BN, ternyata beliau sangat ‘desperado’.

“Tanggapan bahawa beliau amat cenderung dengan budaya ‘Cash is King’ juga adalah amat mengkhuatirkan dan terdedah kepada ‘moral hazard’ dalam suasana negara bercita-cita membanteras amalan segala amalan salah guna kuasa dan rasuah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dzulkefly merujuk kepada kenyataan Senator Dewan Negara itu yang mengumumkan bahawa Kuala Selangor dijadikan sebagai daerah angkat Kementerian Kewangan bagi merealisasikan kemajuan daerah itu.

Dalam pada itu, bekas Menteri Kesihatan Pakatan Harapan (PH) itu juga berharap agar pengundi di Parlimen Kuala Selangor tidak termakan dengan gula-gula politik yang dipamerkan oleh Tengku Zafrul.

“Saya optimis Rakyat/Pengundi Kuala Selangor tidak akan mudah-mudah ‘digula-gulakan’ dengan tindakan sogokan politik dan membeli sokongan politik seperti ini.

“Untuk pengetahuan umum, Rakyat Lembah Pantai belum lupa janji Menteri Kewangan ini untuk menubuhkan UTC di Lembah Pantai pada tahun 2017, ketika beliau sedang mengintai kerusi Parlimen Lembah Pantai. Adalah lebih baik beliau menunaikan janji yang terdahulu, sebelum terburu-buru menabur janji-janji manis yang baharu,” katanya lagi.

Dzulkefly sebelum ini mengumumkan tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan memberikan laluan kepada anak muda untuk diketengahkan.

Namun pada 1 Jun lalu, Dzulkefly berkata, beliau sedia mempertaruhkan dirinya sekali lagi sekiranya Amanah memerlukan beliau berdepan “calon penting” pada PRU15 meskipun beliau menetapkan hasrat untuk berundur. – MalaysiaGazette