Wisma Putra
Wisma Putra

KUALA LUMPUR – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan dua ahli politik, Parti Bharatiya Janata (BJP) yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Menurut Kementerian Luar Negeri, ia telah memanggil Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia petang tadi dan menyampaikan penyangkalan sepenuhnya kenyataan itu.

“Malaysia juga mengalu-alukan keputusan parti pemerintah India untuk menggantung ahli parti terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Baru-baru ini, dua pegawai parti politik India, Nupur Sharma, iaitu jurucakap Parti BJP dan Ketua Media BJP Delhi, Naveen Kumar Jinda membuat kenyataan mengenai Islamofobia dan menghina Nabi Muhammad SAW.

Kenyataan Sharma yang ke udara melalui televisyen pada minggu lalu telah mencetuskan bantahan dan kemarahan umat Islam di India serta pelbagai negara Islam, malah ramai menuntut wanita itu ditahan.

Beberapa negara Islam turut mengecam kenyataan itu, antaranya Qatar, Kuwait, Oman, Pakistan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Iran dan Indonesia

Tambahnya, kenyataan provokasi kedua-dua pemimpin itu telah mencetuskan kemarahan dalam kalangan umat Islam di seluruh dunia.

Sehubungan itu, Malaysia menyeru India untuk bekerjasama dalam menamatkan Islamofobia dan menghentikan sebarang tindakan provokasi demi keamanan dan kestabilan sejagat. – MalaysiaGazette