Mangsa parah tersepit dalam kereta berjaya diselamatkan bomba dalam kemalangan yang berlaku membabitkan empat kereta dan sebuah lori di Lebuhraya Utara selatan Hubungan Tengah Elite pagi tadi. - Gambar ihsan Bomba Selangor.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki cedera parah akibat tersepit di dalam keretanya dalam satu kemalangan membabitkan sebuah lori dan empat kereta di Kilometer 21.9 Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite)- Cyberjaya pagi tadi.

Mangsa terpaksa menahan menahan selama 15 minit sebelum berjaya dikeluarkan pasukan bomba.

Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis berkata, bilik gerakan operasi bomba menerima panggilan melaporkan tentang kemalangan itu jam 10.37 pagi tadi sebelum menghantar tujuh anggotanya dengan sebuah jentera Pasukan Bertindak Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat KLIA bergegas ke lokasi kejadian.

“Setibanya di tempat kemalangan, kami mendapati berlaku kemalangan membabitkan empat buah kereta dan sebuah lori.

“Di dalam sebuah kereta Perodua Bezza, pemandunya tersepit di tempat duduk pemandu dan mengalami kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk memotong kereta yang remuk teruk dan berjaya mengeluarkan pemandunya.

Identiti mangsa dikenal pasti sebagai Mohd Rahsid Rahim yang berasal daripada Lahad Datu, Sabah berusia 24 tahun.

Menurutnya, tiada kehilangan nyawa dilaporkan dalam kejadian itu dan mangsa diserahkan kepada pasukan perubatan untuk dibawa ke hospital. – MalaysiaGazette