Ayob Khan Foto FAREEZ FADZIL, 02 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Undang-undang sedia ada masih tidak mampu membendung sepenuhnya kes jenayah yang semakin meningkat termasuk pengedaran dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, bisnes pengedaran dadah mendatangkan hasil yang tinggi dan mereka yang terlibat sanggup mengambil risikonya.

“Sebagai contoh, bagi satu kilogram dadah berharga RM36,000, bayangkan kalau lebih dari berat itu yang diedar. Bagi orang yang tamak, akan terus menjalankan aktiviti pengedaran, mereka sanggup ambil risiko.

“Kita tak boleh buat andaian, dadah ini akan habis, perkara-perkara ini akan ada pelapis, rangkaian sudah ada, satu dunia bukan satu Malaysia sahaja.

“Kalau A sudah kena tangkap, B akan teruskan, begitulah kerana itu pihak polis tidak pernah berkompromi dan memastikan semua kegiatan jenayah ini akan didakwa,” katanya dalam program OWH!MG.

Ayob Khan berkata, usaha keras sedang diperkasa pihak polis bagi membanteras najis dadah di negara ini.

“Selagi tiada tindakan mengenal pasti siapa yang berada di atas, untuk polis betul-betul tangkap keseluruhan aggota sindiket ini dan menyita aset-aset mereka di bawah pengubahan wang haram (AMLA), memang perkara ini akan berterusan.

“Seperti di dalam sebuah laporan baru-baru ini mengenai pengedaran dadah di Asia Tenggara sahaja mencecah bilion ringgit,” katanya.

Beliau berkata, polis tidak akan berhenti daripada mengadakan operasi dan menjejak penjenayah ini.

“Pihak polis akan menggunakan pelbagai pendekatan agar dapat menangkap bukan hanya tokan malah jerung yang aktif dengan pengedaran dadah ini.

“Ini kerana dadah ini bukan perkara baharu dan sudah lama bersarang, jadi perlukan pendekatan berbeza bagi memastikan jenayah ini dapat dibendung,” jelasnya.

Sementara itu, menyentuh isu pemansuhan kesalahan mandatori, Ayob Khan berkata, mungkin sesetengah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bercakap mengenai hak asasi bagi pihak mereka akan berasa gembira jika ia dimansuhkan secara total.

“Kita kena tengok secara keseluruhan. Contohnya, isu ganja yang mana mahu dihalalkan kerana negara Barat sudah melakukan perkara itu.

“Mereka mengambil contoh di Amerika Syarikat (AS) tetapi hakikatnya di sesetengah kawasan dalam negara itu masih mengharamkan ganja.

“Mereka hanya ambil contoh kawasan yang halal sahaja, yang haram mereka diam,” jelasnya.

Tambah Ayob lagi, undang-undang di AS dan India membenarkan tangkapan tanpa reman dan pesalah boleh ditahan terus, ia bagaimanapun tidak termaktub di Malaysia.

“Itulah gaya di Malaysia, ambil yang sesuai dengan mereka (NGO) sahaja, yang tidak ada kepentingan kepada mereka, akan ditolak. Mereka ambil contoh negara Barat yang betul-betul untuk mereka sahaja, itulah trend mereka ini,” ujarnya lagi.

Tambahnya, sikap sesetengah NGO itu tidak memberi cerminan yang baik malah rakyat kelak yang akan menanggung beban itu. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Negara feudal China runtuh kerana ketagihan candu. Apakah Malaysia mahu kebelakang semula, kerana ketagihan ganja dan nikotin. Belajarlah dari negara Asia lain yang maju, kenapa hendak ikut acuan barat.

Comments are closed.