Sesi bergambar kenangan antara pihak UTeM dan SMK Nyalas.

KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus menjayakan aspirasi nasional dengan memperluaskan konsep dan memupuk minat pelajar sekolah terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejurutereaan dan Matematik (STEM) secara komprehensif dan konsisten.

Terbaharu menerusi Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal & Pembuatan dengan kerjasama Makers@UTeM telah menganjurkan program STEM Bring Forward Technology To School 2022 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nyalas, Melaka.

Pengarah program, Mohammad Rafi Omar berkata, program itu dibentuk dengan formula khas bertujuan memberikan pendedahan teknologi terkini bidang kejuruteraan dalam era Revolusi Industri 4.0 kepada para pelajar tingkatan 5 terutamanya kawasan luar bandar.

Ia juga memberi peluang dan pengalaman menarik kepada pelajar SMK Nyalas melihat dan merasai sendiri penggunaan teknologi terkini seperti 3D printer, kit sistem internet of Thing (IOT) dan prototaip yang dibawa khas dari UTeM kepada mereka.

“Di samping itu, program ini juga telah berjaya memberikan gambaran jelas bidang kejuruteraan dan laluan kerjaya sebagai jurutera kepada pelajar tingkatan 5,” ujarnya lagi dalam kenyataan yang diberikan kepada pihak media baru-baru ini.

Turut bersama di majlis ini adalah Penyelaras program STEM dan Hub IoT, Pusat Kolaborasi Industri dan Masyarakat (PKIM) UTeM, Dr Mohd Nazmin Maslan dan Guru Penolong Kanan Kokurikulum SMK Nyalas, Kushairi Taib @ Kamarudin yang merasmikan penutup program ini.

Beliau turut menyampaikan hadiah kepada pelajar SMK Nyalas yang telah berjaya menyertai pertandingan Sungai Kim Kim Clean Tech Competition yang dianjurkan oleh PKIM UTeM.

Mengupas lanjut program ini, Dr Nazmin menyatakan objektif program telah tercapai dengan jayanya dengan kerjasama semua pihak terlibat seperti barisan Jurutera Pengajar FTKMP, pelatih Makers@UTeM serta sokongan daripada pihak sekolah.

“Program STEM ini perlu diteruskan kepada pelajar sekolah bagi memastikan pelajar holistik dan berfikiran kreatif di samping melahirkan lebih ramai pencipta teknologi berbanding pengguna teknologi,” ujarnya.

Mengulas mengenai pengalaman dan impak program berkenaan, pelajar tingkatan 5 SMK Nyalas, Nur Alleyah Najihah Mohd Rosli mengucapkan terima kasih kepada UTeM kerana telah menganjurkan program STEM yang amat menarik ini buat kami di sini.

Katanya lagi, program yang julung kali dianjurkan ini berkonsep informatif dan praktikal memberikan gambaran sebenar dan membantu kami dalam membuat pilihan bidang kejuruteraan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.- MalaysiaGazette