GEORGE TOWN – Penang Forum menggesa kerajaan untuk tidak melanjutkan tempoh sah laku laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (ElA) bagi komponen Projek Lebuhraya Pan Island Link (PIL 1) daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada tahun 2019.

Gesaan itu dibuat selepas tempoh sah laku EIA itu dilaporkan telah luput pada 10 April lalu.

Menerusi kenyataan Penang Forum, pihaknya telah menghantar lebih daripada 2,000 surat bantahan (yang ditandatangani oleh lebih daripada 2,000 individu yang membantah) menerusi emel kepada Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam surat bertarikh 20 September 2018.

Jelasnya, surat-surat itu diserahkan dengan tangan kepada bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yeo Bee Yin pada 21 September 2018 dalam acara town hall di Dewan SPICE, Pulau Pinang di depan lebih daripada 800 hadirin.

Bagaimanapun, katanya, surat-surat bantahan itu kononnya telah diabaikan oleh menteri terbabit dan juga Ketua Pengarah JAS.

“Penang Forum juga telah serahkan sebab-sebab bantahan melalui laporan Feedback on the EIA Report for the Proposed Pan-Island Link Phase 1 Project setebal 38 muka surat yang telah disediakan oleh ahli-ahli Penang Forum termasuk mantan profesor, pakar sains, pakar sains sosial dan pakar alam sekitar.

“Laporan itu juga di emel dan dihantar kepada menteri dan Ketua Pengarah JAS namun dukacitanya Penang Forum tidak pernah mendapat maklumbalas yang terperinci ke atas laporan terbabit,” katanya menerusi surat yang dihantar Ketua Pengarah JAS, Wan Abdul Latiff  Wan Jaffar semalam.

Menurut surat berkenaan, lanjutan tempoh tamat EIA Pan Island Link akan meletakkan duluan yang buruk untuk masa depan, dan boleh dilihat oleh orang awam sebagai satu penyalahgunaan kuasa yang akan mencemarkan nama baik JAS.

“Kami berharap bahawa JAS akan terus menegakkan piawaian alam sekitar yang tertinggi tanpa rasa takut atau pilih kasih, demi rakyat dan generasi mendatang,”katanya.

Sebelum ini Kerajaan Pulau Pinang telah memohon pelanjutan tempoh sah laku laporan ElA bagi komponen PIL 1 yang diperoleh pada tahun 2019 daripada JAS.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata, selain itu, laporan Kajian Impak Sosial (SIA) bagi projek itu juga sedang dilaksanakan oleh pihak perunding.

Kata beliau, kerajaan negeri sedia maklum bantahan yang dikemukakan oleh penduduk di kawasan kediaman Jesselton khususnya berkaitan pembinaan PIL 1 di Persiaran Kuari.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri akan meneruskan usaha untuk menerangkan kepentingan komponen PIL1 secara keseluruhan dan langkah-langkah mitigasi yang akan diambil semasa proses pembinaan kepada pihak yang berkepentingan terutamanya penduduk yang tinggal berhampiran dengan jajaran lebuh raya tersebut, ujar beliau. – MalaysiaGazette