Ngwe Hee Sem

MELAKA – Restoran 35 yang dikaitkan kontroversi kerana  layanan kasar terhadap pelanggan dinasihati supaya lebih beretika sekaligus menjaga imej Melaka sebagai negeri pelancongan.

Exco Perpaduan, Penerangan, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna Ngwe Hee Sem berkata, walaupun orang Melaka terkenal dengan cara percakapan yang kasar, ia tidak seharusnya ditonjolkan kepada pelanggan apatah lagi dijadikan satu budaya.

Menurutnya, keadaan itu jika disalah tafsir memberikan persepsi negatif yang dikhuatiri mengguris perasaan pelancong daripada pelbagai latar belakang dan budaya.

“Dari segi layanan seperti yang ditularkan itu, saya sudah nasihat pekedai yang mereka seharusnya layan pelanggan dengan cara  baik dan bersopan santun.

“Ini (cakap kasar pada pelanggan) bukan budaya di Melaka, ini lebih kepada kes individu kerana kalau kita lihat semua restoran lain mereka boleh beri layanan yang baik kepada pelanggan.

“Mungkin Restoran 35 ini cara cakap mereka tu agak tinggi sikit suara dan itu memang cara mereka tapi kena juga faham bukan semua pelanggan boleh faham cara begitu,” katanya lagi.

Ngwe Hee Sem (kanan) mendapatkan penjelasan daripada pemilik Restoran 35 di Banda Hilir, Melaka yang mencetuskan kontroversi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan mengejut ke restoran berkenaan di sini hari ini.

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan dakwaan sikap biadap dipercayai pekerja sebuah restoran asam pedas di Banda Hilir di sini yang memarahi pelanggannya dengan perkataan menghina.

Sebelum ini, restoran sama dikatakan pernah tular apabila dipercayai pekerjanya juga memarahi pelanggan sehingga mendapat reaksi masyarakat yang meminta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pengusaha restoran terbabit.

Dalam kejadian terbaharu, satu klip video berdurasi 51 saat yang tular di media sosial sejak kelmarin di mana seorang pelanggan dari Singapura diherdik dengan perkataan yang menggambarkan mereka sekeluarga tidak mampu menikmati menu di restoran asam pedas berkenaan.

Mengulas lanjut, Hee Sem berkata, hasil pemeriksaannya hari ini juga mendapati restoran berkenaan mematuhi semua aspek undang-undang di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

“Saya lihat, semua menu di sini diletakkan tanda harga dan harga yang ditawarkan juga berpatutan jadi tidak timbul isu harganya yang mahal sebagaimana didakwa,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pengguna kena bijak, boikot restoran bermasalah – KPDNHEP