Anwar Ibrahim convincing and formidable numbers
Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan apa-apa kenyataan mengenai pemilihan parti itu akan dibuat selepas pengumuman Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).

Bagaimanapun, Anwar berkata, beliau sudah menghubungi Rafizi Ramli mengenai keputusan tidak rasmi yang mengangkat bekas Ahli Parlimen Pandan itu sebagai Timbalan Presiden PKR.

“Saya dinasihatkan jangan buat apa-apa kenyataan mengenai pemilihan. Tapi saya rasa pemilihan dan semangat perubahan itu satu yang positif bagi parti,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas melancarkan Buku Kombo Merdeka 65 Tahun Sasterawan Negara, A. Samad Said pada Pesta Buku Antarabangsa di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Pada 29 Mei lalu, bekas Naib Presiden PKR itu menang jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti.

Kemenangan Rafizi itu diperoleh hasil kutipan undi tertinggi sebanyak 66,359 di kebanyakan cabang di negeri-negeri.

Setiausaha Agong PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut mengucapkan tahniah kepada lawannya itu melalui hantaran di Facebook.

Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Keadilan memutuskan untuk menunda tarikh Kongres Parti Keadilan Rakyat (PKR) ke 16 dan 17 Julai depan di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan (JPP) PKR, Dr Zaliha Mustafa berkata, keputusan yang akan diumumkan pada kongres adalah muktamad. – MalaysiaGazette