KUCHING – Bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abang Ahmad Urai Datu Abang Mohideen meninggal dunia di Pusat Perubatan Normah Sarawak di Petra Jaya di sini, kira-kira 12.30 tengah malam tadi.

Berita kematian tersebut disahkan pembantu peribadi Allahyarham ketika dihubungi Bernama hari ini.

“Tan Sri (Abang Ahmad Urai) telah dikejarkan ke Pusat Perubatan Normah selepas rebah ketika menghadiri satu acara di sebuah hotel (di Kuching). Beliau meninggal dunia pada 12.30 tengah malam tadi.

“Jenazah Allahyarham akan dibawa ke kediamannya di Jalan Muda Hashim pagi ini,” katanya.

Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Umat Islam Masjid Bahagian di sini, selepas Zohor.

Abang Ahmad Urai, 89, merupakan Yang Dipertua Dewan Negara dari 1988 hingga 1990.

Allahyarham juga pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak. – Bernama