Pemain Malaysia, Syafiq Ahmad mengasak pemain Bahrain, Sayed Redha dalam perlawanan Malaysia menentang Bahrain pada kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Bukit Jalil. Foto MOHD ADZLAN, 11 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Kekalahan 1-2 kepada Bahrain dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2023, malam tadi tidak menjejaskan fokus Skuad Harimau Malaya menjelang perlawanan terakhir Kumpulan E bertemu Bangladesh di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa depan.

Penyerang negara Muhammad Syafiq Ahmad berkata sebagai pemain profesional, kekalahan itu perlu segera dilupakan kerana fokus kini adalah memburu kemenangan pada perlawanan terakhir itu bagi membolehkan pasukan negara layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

“Walaupun mendahului, kita belum tentu boleh menang selagi wisel penamat belum dibunyikan, itulah bola sepak, yang paling penting untuk perlawanan terakhir kita kena menang, tiada alasan.

“Berdepan Bangladesh, sesiapa pun yang main saya tak peduli… yang penting kita menang untuk layak ke pusingan seterusnya (pusingan akhir Piala Asia 2023),” katanya ketika ditemui selepas perlawanan menentang Bahrain di Stadium Nasional, malam tadi.

Pemain tengah Mohamed Syamer Kutty Abba pula berkata Malaysia sepatutnya memenangi perlawanan menentang Bahrain dan prestasi baik yang ditunjukkan dalam perlawanan itu mesti diteruskan ketika menentang Bangladesh.

“Saya bangga dengan rakan sepasukan kerana kami bertarung hingga 90 minit walaupun kami tahu keadaan padang sukar untuk kami bermain tetapi kami berjuang dan memberikan segala-galanya di dalam padang. Kami perlu bangkit dan bermain dengan baik ketika berdepan Bangladesh.

“Seperti kita maklum, Turkmenistan juga baru menang 2-1 ke atas Bangladesh, setiap perlawanan dalam bola sepak sekarang bukanlah permainan yang mudah kerana semua orang tahu bagaimana untuk bertahan dan bagaimana untuk bermain, jadi kami perlu sangat fokus,” katanya.

Pemain pertahanan Matthew Davies berkata: “Kami perlu memenangi perlawanan akhir mungkin dengan sedikit kelebihan untuk memastikan kami selamat. Ia adalah aksi ‘hidup atau mati’ untuk perlawanan terakhir dan kami akan memberikan segala-galanya untuk cuba merealisasikannya.

Pada aksi kedua kumpulan menentang Bahrain disaksikan lebih 63,000 penonton di Stadium Nasional malam tadi, pemain naturalisasi Mohamadou Sumareh meletakkan pasukan negara di hadapan pada minit ke-55, namun Ali Abdulla Haram pantas menyamakan kedudukan untuk Bahrain dua minit kemudian.

Gol kemenangan Bahrain hadir menerusi sepakan penalti disempurnakan pemain gantian Abdulla Yusuf Helal pada minit ke-81 selepas penjaga gol Mohd Farizal Marlias dipersalahkan kerana menjatuhkan Ali Jaafar Madan dalam usaha menyelamatkan keadaan selepas dia terlepas menangkap bola di udara.

Kekalahan itu menyaksikan skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon berdepan misi wajib menang ke atas Bangladesh bagi mencerahkan peluang menamatkan penantian selama 15 tahun untuk layak ke Piala Asia.

Selepas dua perlawanan, Bahrain kini di tangga teratas Kumpulan E dengan enam mata manakala Malaysia dan Turkmenistan masing-masing mengutip tiga mata di tempat kedua dan ketiga manakala Bangladesh tercorot tanpa mata.

Hanya juara kumpulan dan lima naib juara terbaik layak ke Piala Asia 2023. – Bernama