Dom Phillips. Foto Getty Images

ATALAIA DO NORTE, – Pasukan pencari telah menemui barangan milik wartawan Britain yang hilang, Dom Phillips dan pakar pribumi, Bruno Pereira yang hilang di hutan hujan Amazon seminggu lalu.

Polis berkata, pakaian milik Pereira telah ditemui, termasuk kad pengenalan kesihatan atas namanya dan beg galas dengan pakaian milik Phillips, bersama but kedua-dua lelaki itu.

Seorang anggota bomba yang mengetuai pasukan mencari memberitahu pemberita, beg galas Equinox yang mengandungi pakaian dan komputer riba, ditemui terikat pada batang pokok separuh tenggelam di kawasan kali terakhir dilihat kedua-dua lelaki itu dilihat pada hari Ahad.

Terdahulu, Elizeu Mayaruna, yang bekerja untuk agensi orang asli Funai memberitahu Reuters, semasa mencari hutan di sepanjang sungai Itacoai pada hari Sabtu, dia menemui pakaian, kain terpal dan sebotol minyak motor.

Mayaruna dan dua lagi anggota pasukan pencarian orang asli yang mengenali Pereira, bekas pegawai Funai, berkata, mereka mengenali baju dan seluar miliknya.

Saksi berkata, mereka melihat Pereira dan Phillips, seorang wartawan bebas yang telah menulis untuk Guardian dan Washington Post, menyusuri sungai itu pada Ahad lalu.

Kedua-dua lelaki itu dalam perjalanan melaporkan di kawasan hutan terpencil berhampiran sempadan dengan Peru dan Colombia.

Kawasan itu merupakan kediaman kepada penduduk asli terbesar di dunia.

Wilayah liar dan tanpa undang-undang itu telah menarik perhatian kumpulan penyeludup kokain, bersama-sama dengan pembalak haram, pelombong dan pemburu.

Setakat ini Kerajaan Brazil belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung penemuan tersebut. – Reuters

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast