Shahrulufti (dua dari kanan) menyifatkan penggunaan dwibahasa pada sambutan Hari Kemerdekaan ini sebagai tidak wajar.

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari digesa supaya sentiasa memberi tumpuan kepada permasalahan dihadapi rakyat dalam kawasannya, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua.

Ini kerana, apa sahaja masalah berlaku, rakyat terutama golongan B40 dalam DUN itu mengadu kepada Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Bahagian Gombak agar mendapat pertolongan untuk diselesaikan.

Menurut Naib Ketua Putra Bahagian Gombak, Shahrulufti Mohamad Sharif, sepanjang turun padang, beliau dan jentera parti berdepan dengan pelbagai permasalahan rakyat.

Antaranya, sebuah masjid memerlukan dewan serbaguna untuk kegunaan lima surau dan van jenazah untuk menguruskan kematian kariah di mukim berkenaan.

“Selain itu, ada penduduknya dalam kategori orang kelainan upaya (OKU) hidup dalam serba kedaifan memerlukan bantuan kewangan serta perubatan.

“Malah, banyak lagi aduan yang kita terima, selain yang kita lihat dalam program turun padang,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Justeru, Shahrulufti menggesa semua kepimpinan dan ahli Putra bersatu hati bersama memperkenalkan parti berkenaan kepada masyarakat setempat menerusi kunjungan di semua Pusat Dalam Mengundi (PDM) di tiga DUN dalam Parlimen Gombak.

Jelas beliau, dalam program itu, pihaknya turun padang menyantuni masyarakat di Cawangan Taman Sri Gombak 1 dalam DUN Gombak Setia  untuk mengagihkan barangan makanan.

Katanya, mereka juga berpeluang bersama masyarakat di Cawangan Putra Batu Cave dalam DUN Sungai Tua dan ziarah seorang OKU lumpuh yang hanya ditemani cucunya yang masih bersekolah rendah.

“Sungguh pun OKU ini mendapat bantuan zakat tetapi kehidupannya sangat daif dan memerlukan bantuan sampingan terutama perubatan dan kewangan bagi meringankan bebannya.

“Cucunya pula terpaksa berhenti sekolah kerana mahu menjaga nenek,” kata beliau.

Dalam program turun padang itu, menurut Shahrulufti, kepimpinan bahagian berkenaan turut berpeluang ke Cawangan Selayang Baru dalam DUN Sungai Tua untuk menyerahkan bantuan makanan kepada Masjid Al-Taqwa Selayang Baru. – MalaysiaGazette