Darwin Nunez. Foto Sky Sports.

LONDON – Penyerang Benfica dari Uruguay, Darwin Nunez dilaporkan semakin hampir menyertai Liverpool dengan perjanjian mencecah £85 juta (RM460.44 juta).

Mengikut laporan, Liverpool dilaporkan bersedia membayar £64 juta (RM346.68 juta) dengan kemungkinan £12.8 juta (RM69.34 juta) lagi mengikut penampilan serta £8.5 juta (RM46.04 juta) bergantung kepada kejayaan pasukan.

Jika semua dipersetujui membabitkan pemain berusia 22 tahun itu, ia akan mengatasi rekod Liverpool, £75 juta (RM406.27 juta) yang dibayar kepada Southampton bagi mendapatkan pertahanan tengah Belanda, Virgil van Dijk pada 2018.

Kelab Liga Perdana Inggeris itu dikatakan telah mengadakan perbincangan dengan Benfica sejak beberapa minggu.

Sabtu lalu, Nunez, yang tidak berada dalam skuad Uruguay yang menang 5-0 berdepan Panama dijangka membuat pemeriksaan kesihatan hari ini yang memerlukan dua hari untuk selesai.

Syarat peribadi dijangka tidak mendatangkan masalah dengan pemain itu sendiri menyatakan keinginan untuk bermain di bawah kendalian pengurus Reds, Jurgen Klopp walaupun turut diminati Manchester United.

Nunez yang dijangka menandatangani kontrak enam tahun bersama Liverpool, menjaringkan 26 gol dalam 28 aksi liga buat Benfica musim ini.

Nunez akan tiba di Anfield sebagai pengganti Sadio Mane selepas Bayern Munich meningkatkan usaha bagi mendapat penyerang Senegal itu. – MalaysiaGazette