Nga Kor Ming

KUALA LUMPUR – “Jika kita berdiam diri, seterusnya mungkin Thaipusam, selepas itu Gawai atau perayaan pertengahan musim luruh.”

Itu sinikal Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming sebagai respons kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad agar umat Islam tidak menyertai program Festival Bon Odori.

Pemimpin DAP itu berkata, sekiranya rakyat mendiamkan diri mengenai kenyataan Idris itu, beliau bimbang lebih banyak perayaan akan akan dikaitkan oleh menteri itu kelak.

Kenyataan menerusi Twitter itu dipercayai merujuk kepada Idris bahawa sambutan Bon Odori berdasarkan kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia mendapati program itu mempunyai unsur keagamaan.

Dalam pada itu, bekas Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat itu turut berkata, Festival Bon Odori merupakan salah satu festival yang telah lama diadakan di negara ini.

“Bon Odori menjadi isu hangat baru-baru ini. Isu sebenar bukanlah ia diadakan di Malaysia sejak 1977. Isunya sama ada kita mahu pihak berkuasa terus perintah dan memecahbelahkan kita,” katanya.

Kerajaan Pulau Pinang sebelum ini membuat kenyataan tidak akan membatalkan sambutan Bon Odori di negeri itu.

Menurut Exco negerinya, Yeoh Soon Hin, festival Bon Odori yang dijadual berlangsung di Padang Kota Lama, pada 30 Julai akan diteruskan kerana dalam konteks Pulau Pinang sambutan berkenaan tidak mengandungi elemen pemujaan atau upacara keagamaaan tersebut. – MalaysiaGazette