Mesyuarat Majlis Presiden PH marah mereka terhadap isu-isu rasuah melibatkan individu-individu dalam kerajaan sejak kebelakangan ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menimbulkan rasa marah mereka terhadap isu-isu rasuah melibatkan individu-individu dalam kerajaan sejak kebelakangan ini.

Menurut mereka, keterangan bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan di mahkamah berhubung bayaran sehingga sebanyak RM30,000 sebulan walaupun tiada sebarang mesyuarat lembaga penasihat 1MDB diadakan adalah satu perkara merisaukan.

“Ini menimbulkan pelbagai tanda tanya kerana pada ketika beliau (Mohd Sidek) menerima bayaran-bayaran berkait 1MDB ini beliau masih memegang jawatan KSN.

“Dalam kes berhubung Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) pula, seorang bekas pengarah UKSB berkata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah menerima di antara SGD200,000 hingga SGD520,000 sebulan.

“Bekas pengarah itu juga berkata, Khairy Jamaluddin melalui UMNO Bahagian Rembau telah menerima di antara RM50,000 hingga RM200,000,” kata mereka dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas PH, kedua-dua kes ini amat merisaukan kerana ia melibatkan tokoh-tokoh politik besar malah tokoh utama perkhidmatan awam.

Justeru itu, PH mendesak agar kerajaan mengambil langkah drastik dengan menyegerakan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik.

“Beberapa reformasi dan tindakan tegas perlu dilaksana Kerajaan pada kadar segera termasuk Rang Undang-Undang Pendanaan Politik serta meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di bawah bidang kuasa Parlimen,” desak PH lagi.

Kenyatan bersama itu melibatkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Presiden Pertubunan Kinabalu Progresif (UPKO), Datuk Seri Madius Tangau. – MalaysiaGazette