Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki (tengah) beramah mesra dengan para pemenang pada Anugerah Media SPRM 2021 di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. Foto FAREEZ FADZIL, 14 JUN 2022.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih tidak menerima sebarang maklum balas daripada Jabatan Peguam Negara berhubung tiga pegawai MARA Corporation (MARA Corp) yang disiasat susulan isu salah guna kuasa dan salah urus syarikat.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, sebaliknya ia tidak bermakna kes itu tidak akan dituduh di mahkamah.

“Setakat ini tidak ada sebarang makluman daripada mana-mana pihak atau Jabatan Peguam Negara menyatakan kes ini tidak dituduh.

“Saya setakat ini tidak ada komen mengatakan kes ini tidak dituduh.

“Kita telah menyiasat dan pada pandangan kami ada keterangan mencukupi untuk mencadangkan pertuduhan terhadap beberapa pihak,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat SPRM hari ini.

Sebelum ini, SPRM memaklumkan pihaknya sudah melengkapkan siasatan berhubung dakwaan isu integriti membabitkan lima pegawai kanan MARA yang dikaitkan dengan penyalahgunaan kuasa.

Pendedahan mengenainya dibuat satu pemilik akaun Twitter menerusi ciapannya yang turut melampirkan enam halaman surat berhubung isu integriti pegawai agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Lima pegawai agensi itu yang dikaitkan dakwaan terbabit juga tampil membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi di Kuala Lumpur secara berasingan, menafikan terbabit perbuatan seperti didakwa. – MalaysiaGazette