Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa bersama Timbalan Mneteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada penerima daripada kakitangan Kementerian Komunikasi dan Multimedia pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2021 bagi Jabatan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia di Kompleks Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Putrajaya. 14 JUN 2022.

PUTRAJAYA – Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekarang merupakan kerajaan yang kuat dan stabil hasil dukungan semua pihak.

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, malah belum pernah tercatat dalam sejarah di negara ini apabila ahli Parlimen pembangkang turut menyokong kerajaan hari ini.

“Ada orang kata kerajaan ini lemah, ada juga yang kata kerajaan ini kuat. Tak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia satu kerajaan yang didukung bersama oleh anggota Parlimen kerajaan dan pembangkang.

“Saya sudah jadi menteri banyak penggal, sejak zaman Dr Mahathir (Mohamad) sampai sekarang, belum ada satu kerajaan yang tertulis hitam putih bahawa pembangkang dan kerajaan sanggup menyokong Perdana Menteri (PM) sehingga PM ada sokongan lebih daripada dua pertiga. Pendapat saya, kerajaan ini kuat dan stabil,” katanya yang juga Menteri Komunikasi dan Mutimedia.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2021 Kementerian Komunikasi dan Multimedia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional itu berkata, sokongan yang ada pada Perdana Menteri membuktikan tiada keperluan mendesak untuk membubarkan Parlimen.

“Soal isu pilihan raya ini tak berbangkit, lebih baik tumpukan pada pentadbiran kerja. Cara mahu stabil adalah dengan cukup sokongan majoriti dalam Parlimen dan sekarang sudah lebih daripada cukup. Kedua, pembangkang pun turut menyokong.

“Parti saya (UMNO) belum buat keputusan untuk mengadakan pilihan raya, setakat yang saya tahu, parti belum putuskan apa-apa. Ini bukan kerajaan satu parti, ini kerajaan berbagai-bagai parti yang perlu ambilkira semua pendapat,” ujarnya.

Annuar memaklumkan, pihaknya telah membuat persiapan awal bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang bakal diadakan dalam masa terdekat.

“Saya boleh maklumkan bahawa Parlimen Ketereh sedang membuat persiapan sebab kita tahu dalam masa 10 bulan ini akan diadakan PRU. Kita kena pastikan bila PRU dibuat kita sudah bersedia,” katanya. – MalaysiaGazette