Tertuduh kes terima rasuah, Muhammad Faizal Abdul Hakil diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk sebutan kes ketika hadir ke Mahkamah Seksyen Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 14 JUN 2022.

SHAH ALAM – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan tarikh 15 Ogos ini untuk menetapkan hukuman ke atas seorang individu bekerja sendiri, Muhammad Faizal Abdul Hakil, 46, atas kesalahan menerima rasuah bernilai RM3,000.

Hakim Rasyihah Ghazali ketika menetapkan tarikh itu turut mengenakan jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh selepas mengaku salah.

Mengikut kertas pertuduhan, Muhammad Faizal pada 6 April 2013 bersama seorang lagi yang telah dituduh telah secara rasuah menerima suatu suapan wang tunai berjumlah RM3,000.

Wang itu diterimanya daripada Hezrie Abd. Majid sebagai dorongan untuk melakukan suatu perkara iaitu tidak mengambil tindakan ke atas kesalahan menyimpan tong gas ditempat tidak dilesenkan yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noryusriza Zulkifli dan Mohd Aliff Saharuzaman serta pegawai penyiasat kes, Mohammad Hadizaizad Abd. Rahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Muhammad Faizal dituduh di bawah Seksyen 16 (a)(A) ASPRM 2009, pilihan Seksyen 419 Kanun Keseksaan.

Tertuduh juga turut diarah menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berdekatan pada minggu pertama setiap bulan. – MalaysiaGazette