Siew Hong bersama barisan peguam bela antaranya, Gunamalar Joorindanjn, Shamsher Singh Thind dan Srimurugan Alagan.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sivil di sini hari ini menolak permohonan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPS) yang mahu menjadi pencelah dalam petisyen perceraian di antara Loh Siew Hong dengan suaminya, Nagahswaran Muniandy sebentar tadi.

Siew Hong dan Nagahswaran merupakan ibu bapa kepada tiga anak mualaf yang tidak boleh disebut namanya atas arahan mahkamah.

Mahkamah hari ini memutuskan MAIPs tidak mempunyai sebarang akses kepada tiga anak Siew Hong yang telah diislamkan oleh bapa mereka Nagahswaran secara sepihak selepas memeluk Islam sebelum ini pada 7 Julai 2020.

Menurut Hakim Mahkamah Sivil, Evrol Mariette Peters keputusan ini diambil setelah mendapati MAIPs tidak berjaya membuktikan pihaknya sebarang mempunyai kepentingan berkaitan kanak-kanak itu.

Jelasnya, kanak-kanak itu bukan yatim piatu malah bukan ‘hak milik’ Perlis, sebaliknya kini sudah menetap di Selangor.

“Hubungan mereka di Perlis hanya untuk sementara waktu. Mahkamah menolak permohonan ini,” katanya.

Sebelum ini juga, dalam petisyen perceraian, Siew Hong telah diberi hak jagaan, pemeliharaan dan kawalan tunggal ke atas tiga kanak-kanak di dalam perkahwinan tersebut.

Pada 7 Mac lalu, MAIPs memfailkan permohonan sebagai pencelah bagi mendapat akses bantuan, panduan dan pendidikan berkenaan Islam kepada tiga kanak-kanak berkenaan, selain sokongan dalam bentuk kewangan daripada dana zakat serta bantuan lain dibenarkan syarak melalui ibu mereka sendiri.

Pada 21 Februari lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan habeas corpus (penahanan salah) yang difailkan Siew Hong dan tiga beradik terbabit yang ketika itu berada dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diserahkan dengan serta-merta kepadanya.

Sebelum ini, Nagahswaran yang memeluk Islam menukar agama anak mereka pada Julai 2020 selepas berpisah dengan Siew Hong pada Mac 2019 sebelum bercerai pada 2021.

Nagahswaran kini menjalani hukuman penjara di Kelantan atas kesalahan jenayah. -MalaysiaGazette