Sepanduk 'Peja jangan hisap gam' yang tular di media sosial.

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tidak sedikit pun berasa kecil hati terhadap sebuah sepanduk yang dipasang oleh penyokong Harimau Malaya ketika bertemu dengan pasukan Bangladesh malam tadi.

Sebaliknya, Ahmad Faizal berterima kasih dengan pemasangan sepanduk itu dan menyifatkan kata-kata yang ditulis ‘Peja jangan hisap gam’ sebagai satu bentuk nasihat yang berguna kepada dirinya.

“Nasihat yang amat baik kepada saya dan kepada semua! Terima kasih! Semoga Allah berkati segala kebaikan kita,” katanya ringkas dalam ciapan di Twitter.

Beliau sebelum ini membangkitkan kemarahan rakyat apabila berkata, faktor luaran seperti kehadiran 63,000 penonton di stadium turut menjadi punca pasukan negara tewas kerana ia boleh menyebabkan pemain hilang fokus.

Menurut Ahmad Faizal, beliau tidak merasakan penjaga gol Harimau Malaya, Farizal Marlias sebagai punca jaring pasukan Malaysia bolos kepada Bahrain dengan keputusan 1-2 sehingga ke akhir perlawanan.

“Seingat saya sejurus jaringan pertama kelihatan beberapa kelibat pemain di luar padang antaranya Guilherme De Paula akan dimasukkan ketika itu yang menyebabkan seluruh stadium bersorak.

“Sorakan sedemikian menyebabkan pemain hilang fokus, sekali gus skuad kita terlepas daripada menjaringkan gol.”

Ekoran kenyataan Ahmad Faizal itu, pelbagai kecaman sama ada daripada peminat dan ahli politik disasarkan terhadap beliau.

Bagaimanapun beliau telahpun memohon maaf terhadap kenyataan yang dikeluarkannya.

Ahmad Faizal yang ‘pening’ kerana dimarahi penyokong Harimau Malaya berkata, kenyataannya berhubung sorakan penyokong itu telah disalaherti.

“Sorakan dan sokongan penyokong sebagai pemain ke-12 amat penting dan amat dihargai.

“Bila dah kena balon, saya pun pening. Cakap-cakap bola saya sebelum ini telah disalah erti. Ampun dan maaf atas kesilapan saya,” ciapnya di Twitter.

Malaysia mengesahkan tempat ke Piala Asia 2023 selepas membelasah Bangladesh 4 – 1 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.

Harimau Malaya layak secara merit kali keempat menerusi slot tempat kedua terbaik kumpulan di belakang Bahrain.

Pada aksi ketiga kumpulan itu, gol Malaysia dijaringkan oleh Safawi Rasid (minit 16), Dion Cools (m 38), Syafiq Ahmad (m 47) dan Darren Lok (m 73) manakala gol tunggal Bangladesh oleh Mohammad Ibrahim (m 31).

Kemenangan itu menyaksikan skuad Harimau Malaya menamatkan saingan di tangga kedua Kumpulan E dengan enam mata dan berjaya menempatkan diri dalam kelompok lima naib juara terbaik dari enam kumpulan yang mendapat tiket ke pusingan akhir Piala Asia 2023.- MalaysiaGazette