Suruhanjaya Sekuriti

KUALA LUMPUR -Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS) UK mempelawa para sarjana untuk memohon penyertaan dalam Program Felo Sarjana Tamu SC-OCIS ke-11 dalam bidang Kewangan Islam bagi sesi akademik 2022/23.

Program ini terbuka kepada ahli akademik atau pengamal yang berkebolehan dalam menjalankan penyelidikan gunaan secara bebas mengenai topik kontemporari yang berkait rapat dengan pasaran modal Islam, dengan keutamaan diberi kepada Maqasid al-Syariah, kewangan sosial Islam dan fintech, ekonomi halal, pelaburan berimpak dan topik berkaitan SRI.

Pemohon perlu berkepakaran dalam kewangan Islam dan/atau disiplin yang berkait rapat dengan pengalaman praktikal yang luas dalam bidang berkaitan.

Tarikh tutup penyerahan permohonan pada 10 Julai 2022.

Pemohon yang berjaya dijangka memulakan program tamu selama satu tahun akademik di OCIS mulai Oktober 2022.

Di samping menjalankan penyelidikan, sarjana terpilih juga sesekali dikehendaki menyampaikan syarahan dan mengadakan seminar, terlibat dalam kajian kolaboratif, dan menyumbangkan tenaga kepada institusi berkaitan.

Program yang diperkenalkan pada tahun 2012 ini telah mendapat sambutan yang baik di seluruh dunia dengan pemohon yang terdiri daripada pelbagai bidang, mewakili kepelbagaian dan keterangkuman kewangan Islam.

Ia menarik minat para sarjana yang terdiri daripada ahli akademik dan pengamal industri dari Malaysia, Eropah, Timur Tengah dan benua Amerika.

Program ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan SC dalam mengekalkan dan mengglobalisasikan pembangunan pasaran modal Islam melalui perkongsian strategik dengan OCIS, dengan kepimpinan pemikiran bertindak sebagai tonggak utama.

Untuk butiran lanjut mengenai Program SIR, sila layari bahagian `Visiting Fellowship’ di laman web OCIS di www.oxcis.ac.uk.- MalaysiaGazette