Dua sahabat karib Lee Shin Nyng dan Loo Ying Hui (kanan) menunjukkan keputusan semua gred A dalam 10 mata pelajaran yang diambil mereka.

JOHOR BAHRU – Seramai 1,122 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 memperolehi gred A dalam semua mata pelajaran di Johor.

Pengarah Jabatan Pendidikan Johor, Md Said Md Daimon berkata, daripada jumlah tersebut seramai 30 calon mendapat keputusan A+ bagi semua mata pelajaran yang diambil mereka.

Beliau berkata, bilangan calon mendapat kepujian sekurang-kurangnya satu kepujian (C) adalah seramai 6,031 orang manakala sekurangan-kurangnya satu gagal (G) adalah 12,118 orang.

“(Dengan keputusan ini) ia menunjukkan kualiti calon cemerlang di negeri Johor.

“Berdasarkan pencapaian SPM 2021, terdapat 53 sekolah di Johor telah mencapai kelulusan 100 peratus layak mendapat sijil yang meliputi sekolah-sekolah bandar dan luar bandar,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata, secara keseluruhan terdapat seramai 43,253 orang calon menduduki peperiksaan pada tahun lepas.

Menurut Md Said, Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) Negeri Johor pada 2021 adalah 4.75 manakala calon layak mendapat sijil adalah seramai 37,846 bersamaan dengan 87.5 peratus.-MalaysiaGazette