Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini didedahkan perbualan Whatsapp antara pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali dan saksi kelapan bahawa remaja kurang upaya yang dikenali sebagai Bella telah mengopek dan memakan kuping luka di kepalanya.

Dalam WhatsApp tersebut, Siti Bainun memaklumkan kepada Suhana Zam, 40, bahawa terdapat kecederaan pada remaja berkenaan pada kepala remaja kerana air panas.

Menurut peguam Nur A’minahtul Mardiah Md. Nor, dalam perbualan itu, pengasas Rumah Bonda itu juga memberitahu saksi tersebut, bahawa rambut Bella bertobek-tobek disebabkan luka yang dialaminya.

Peguam: Di muka 20 saya rujuk kepada masa 9.38, Bainun cakap yes akak, Bella lagi teruk masa air panas kena dia. Setuju.

Saksi: Setuju

Peguam: Bainun kata, masa dia tantrum sakit. Betul?

Saksi: Betul.

Peguam: Kemudian, macam saya cadangkan tadi sudah banyak baik dia —. Betul.

Saksi: Betul.

Peguam: Juga dimaklumkan gigit, makan semua. Betul

Saksi: Betul

Peguam: Dan di muka surat 22 Bainun ceritakan tentang luka teruk sebab tak jaga. Betul?

Saksi: Betul.

Peguam: Siapa tak kasihan luka macam itu. Betul ayat Bainun?

Saksi: Setuju

Peguam: Kita mandikan, sapu ubat, cakap jangan banyak main sebab nak bagi cepat kering. Betul.

Saksi: Betul

Peguam: Dia (Bella) jenis kopek, makan kuping dia. Betul?

Saksi: Betul.

Peguam: Sampai busuk sangat rambut. Betul?

Saksi: Betul.

Peguam: Sebab itu lepas raya decide botakkan, tapi tobek sebab ada kuping itu. Setuju?

Saksi: Setuju.

Ya. setuju.

Saksi kelapan tersebut sebelum ini dalam kenyataan utama kepada pihak pembelaan berkata, terdapat perubahan dalam potongan rambut Bella yang panjang dan cantik sebelum Hari Raya Aidilfitri 2021 dan selepas sambutan perayaan tersebut.

Sementara itu, saksi berkenaan menafikan wujud konspirasi antara beliau dan empat rakannya untuk menjatuhkan Siti Bainun.

Ini berikutan kenyataan yang bercanggah yang dibuat Suhana ketika memberikan keterangan utama kepada pendakwa raya dengan bukti-bukti yang ditemui dalam perbualan WhatsApp kedua-dua mereka.

Nur A’minahtul Mardiah mendakwa saksi itu telah berkonspirasi dengan Hani Azura, Syira, Haiza dan seorang lagi individu bernama Zurianty untuk menjatuhkan Bainun.

“Saya mencadangkan kelima-lima kamu berkonspirasi untuk menjatuhkan Siti Bainun kerana semua cerita Cik Suhana di mahkamah bercanggah dengan tarikh kejadian kepada Cik Suhana yang sudah diakui sebelum ini.

“Apabila berlaku percanggahan bermakna kejadian-kejadian yang diceritakan Cik Suhana di mahkamah ini adalah imaginasi dan tidak pernah berlaku,” kata A’minahtul Mardiah.

Beliau menambah konspirasi menjatuhkan Bainun bertambah kuat selepas kes Bella tular di media sosial.

Suhana yang sebelum ini tidak rapat dengan Zurianty kemudiannya menjadi bertambah akrab dan ia boleh dilihat dalam perbualan WhatApp kedua-dua mereka.

Saksi yang bertugas sebagai Pegawai Penyelidik Undang-undang sebuah firma guaman itu bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.

Suhana turut menafikan cadangan seorang lagi peguam bela, Asiah Abdul Jalil bahawa beliau cemburu dengan kejayaan yang ditempa oleh Siti Bainun hingga mahu menjatuhkan pengasas Rumbah Bonda itu.

“Saya cadangkan walaupun Cik Suhana sudah kenal Siti Bainun sejak 2009 tetapi semasa menubuhkan Rumah Bonda pada 2019 Bainun tidak ajak pun Cik Suhana dan Haiza menyertainya.

“Saya cadangkan semasa penubuhan Rumah Bonda secara rasmi, Siti Bainun melantik AJK yang baru dikenali pada 2019 bukan Cik Suhana yang sudah dikenali sejak 2009.

“Saya cadangkan sejak mengenali Bainun pada 2009, pencapaian hidup Bainun jauh melebihi pencapaian hidup Cik Suhana. Oleh kerana Cik Suhana rapat dengan Bainun, Cik Suhana tahu betapa pentingnya anak angkat kepada Bainun.

“Saya cadangkan Cik Suhana cemburu dengan kehidupan Bainun, oleh itu Cik Suhana ingin Bainun hilang anak angkat, Rumah Bonda, pertubuhan dan kawan selain ditangkap, dipenjarakan dan dicemuh,” katanya. – MalaysiaGazette