Azizah Mohd Dun

KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (Mara) tidak pernah mencampuri siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes yang sedang dihadapi tiga pegawai kanan Mara Corporation Sdn Bhd (Mara Corp) yang disyaki terlibat dalam salah guna kuasa.

Pengerusinya, Datuk Azizah Mohd Dun berkata, pihaknya telah menyerahkan sepenuhnya kes itu kepada SPRM untuk siasatan dan seterusnya ke peringkat Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi tindakan pendakwaan.

Jelas beliau, desas desus yang mengatakan pendakwaan terhadap ketiga-tiga pegawai Mara Corp mungkin digugurkan walaupun bukti telah dikemukakan SPRM kepada AGC adalah tidak benar.

“Jika hendak campur tangan, dari awal siasatan sudah buat. Mara tidak campur tangan, sebaliknya membiarkan sahaja kes ini dikendalikan sebaiknya oleh SPRM,” katanya kepada media, hari ini.

Segera dakwa tiga pegawai kanan Mara Corp, jangan pilih bulu – MP Papar

Azizah menyatakan demikian bagi mengulas laporan MalaysiaGazette bahawa AGC bakal menggugurkan kes membabitkan tiga pegawai kanan Mara Corp.

Sebelum ini, SPRM menyangkal dakwaan itu apabila Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki menyatakan tiada sebarang makluman daripada AGC berhubung kes itu.

Pada akhir Mac lalu, Azam memberitahu, pihaknya yakin tiga pegawai MARA Corp yang disiasat bekaitan salah guna kuasa dan salah urus syarikat bakal diheret ke mahkamah dalam masa terdekat.

Sebelum ini, lima pegawai agensi itu yang dikaitkan dakwaan terbabit juga tampil membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur secara berasingan, menafikan terbabit perbuatan seperti didakwa. -MalaysiaGazette