The Kuala Lumpur Court Complex Bella Siti Bainun Rumah Bonda abuse neglect Down Syndrome Securities Commission Malaysia SC Investment banker Charles Chua Yi Fuan
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) semalam mengenakan pertuduhan terhadap bekas ahli perbankan pelaburan, Charles Chua Yi Fuan, kerana menipu empat pelabur yang mengalami kerugian berjumlah RM76,000 pada Februari 2018 hingga April 2018.

Charles, bekas Naib Presiden Pasaran Hutang di Hong Leong Investment Bank Bhd, memaklumkan kepada mangsa bahawa mereka melabur dalam skim pelaburan yang melibatkan langganan sekuriti, walhal skim tersebut tidak wujud.

Tertuduh ditahan di Malaysia semalam dengan bantuan Pasukan Polis Diraja Malaysia dan Pertubuhan Polis Jenayah Antarabangsa (INTERPOL) selepas dihantar pulang dari Kemboja.

Berikutan penghantaran pulang oleh pihak berkuasa Kemboja, Charles dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk menghadapi empat pertuduhan di bawah subseksyen 179(b) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).

Dia didakwa di dua mahkamah berasingan.

Kesalahan tersebut boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang RM1 juta.

Hakim Mahkamah Sesyen, Kamarudin Kamsun membenarkan ikat jamin sebanyak RM300,000 dengan seorang penjamin.

Selain itu, tertuduh diarah untuk menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan dikehendaki melaporkan diri kepada Pegawai Penyiasat SC setiap bulan.

Di mahkamah yang lain, Hakim Sabariah Othman membenarkan ikat jamin sebanyak RM50,000. Semua syarat jaminan lain adalah sama.

SC mengucapkan terima kasih kepada Pasukan Polis Diraja Malaysia dan Interpol atas usaha dan sumbangan mereka untuk membawa pulang Charles ke Malaysia untuk didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

SC turut mengingatkan pelabur agar berhati-hati sebelum melabur wang mereka dan apabila mempertimbangkan peluang pelaburan. Senarai Peringatan Pelabur SC sentiasa dikemas kini untuk membimbing orang ramai untuk mengenal pasti platform, syarikat atau individu yang tidak dibenarkan / tidak berlesen. – MalaysiaGazette