Bojan Hodak.

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak mengakui sukar untuk meraih tiga mata menentang Terengganu FC yang dianggap sebagai salah satu pasukan terbaik Liga Super ketika ini sambil menyifatkan percaturan terbaik perlu dilakukan untuk perlawanan esok.

Selepas sebulan saingan Liga Super berehat, perlawanan akan kembali berlangsung bermula 18 Jun ini menyaksikan skuad Kuala Lumpur akan berkunjung ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin menentang anak buah Nafuzi Zain.

Bojan bagaimanapun menjangkakan perlawanan yang cukup sengit akan dihadapi barisan pemain untuk meraih tiga mata memandangkan Terengganu sering kali hadir dengan strategi yang sukar dibaca di atas padang.

“Kita tidak boleh nak cakap apabila kita lawan Terengganu, kita wajib menang tiga mata.

“Ini kerana bagi saya, mereka adalah pasukan yang terbaik dalam liga selepas JDT (Johor Darul Ta’zim) dan rasanya tiada lagi pasukan yang menang di tempat mereka.

“Jadi, ia akan menjadi perlawanan yang sukar dan kalau kami boleh dapat tiga mata, ia memang bagus untuk pasukan kami”, jelasnya.

Bercakap mengenai perkembangan pemain, Hodak lega tiada kecederaan baharu yang membabitkan pemain-pemain utama di mana Romel Morales juga semakin menunjukkan peningkatan selepas berdepan kecederaan sebelum ini.

Namun, pemain dari Columbia ini masih perlu masa untuk melihat dia beraksi konsisten seperti mana di pentas Piala Malaysia pada musim lepas.

“Untuk sekarang, dalam enam perlawanan terakhir, kami dah menang empat aksi dan Romel juga dah datang balik selepas cedera, yang penting adalah kami tiada kecederaan baru.

“Romel sudah pulih sepenuhnya cuma untuk lihat dia bangkit seperti di Piala Malaysia perlu masa.

“Dua aksi terakhir dia bermain kita boleh nampak dia bertambah baik, jadi saya harap nanti dia mampu beraksi dengan cemerlang sepertimana di Piala Malaysia”, tambahnya.

Tiga lagi perlawanan yang akan berlangsung esok membabitkan aksi antara Melaka United FC dan Negeri Sembilan FC, Sabah FC menentang Sri Pahang FC manakala Penang FC berdepan PJ City FC. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast