Anggota polis memasukkan dua jenazah pelajar Sekolah Pondok Terusan Limbat yang yang ditemui pagi tadi ke dalam kenderaan untuk dibawa ke hospital.

KOTA BHARU – Dua pelajar Pondok Terusan Limbat yang hilang ketika mandi di Sungai Machang Limbat dekat Pasir Tumboh, di sini, petang semalam, ditemukan lemas pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Rosdi Daud berkata, mayat Muhammad Zulhafiz Azman, 18, dan Luqman Hakim Azman,16, dijumpai terapung dalam keadaan saling berpelukan pada 8.40 pagi, kira-kira 20 meter dari lokasi mereka dilaporkan hilang.

“Kedua-dua mangsa ditemukan terapung kira-kira 10 minit selepas operasi mencari dan menyelamat digerakkan bermula pukul 8.30 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian untuk bedah siasat.

Muhammad Zulhafiz dan Luqman Hakim sebelum ini dilaporkan dikhuatiri lemas selepas kedua-duanya dilihat kali terakhir mandi di sungai itu pada 6.45 petang semalam, sebelum tenggelam.

Kedua-duanya pergi ke sungai berkenaan bersama sembilan rakan lain dan difahamkan jarak antara lokasi kejadian dengan pondok pengajian mereka adalah kira-kira 200 meter. – Bernama