Sebahagian penduduk memegang plakad bantahan dan menyatakan rasa tidak puas hati semasa temu bual mengenai Penduduk yang terlibat dengan perobohan rumah oleh Kerajaan Negeri Selangor di Kampung Jaya Sepakat, Selangor. Foto MUHD NA'IM, 16 JUN 2022.

PUCHONG – Kira-kira 100 orang penduduk Kampung Jaya Sepakat, dekat sini, menuntut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari untuk menunaikan janji memberi hak pemilikan tanah yang diumumkan pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) 17 Mac lalu.

Penduduk-penduduk yang menjadi peneroka kawasan ini telah menduduki tanah rizab Kerajaan Negeri Selangor sejak tahun 1998.

Janji yang dibuat oleh Amirudin itu dituntut kerana jika tidak tanah yang diduduki mereka itu akan dirobohkan pemaju, Tropicana Aman Sdn. Bhd., pada 19 Jun ini bagi tujuan pembinaan jalan akses ke Rumah Selangorku yang bakal dibina berhampiran.

Kelihatan kediaman penduduk selapas temu bual mengenai Penduduk yang terlibat dengan perobohan rumah oleh Kerajaan Negeri Selangor di Kampung Jaya Sepakat, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 16 JUN 2022.

Penduduk di sini juga kebingungan apabila risikan yang dibuat di Pejabat Perumahan Selangor mendapati projek ini dikatakan masih dalam perancangan sedangkan Menteri Besar Selangor telah berjanji untuk memberi hak pemilikan.

Lebih sadis lagi apabila pemaju projek itu tergesa-gesa menghalau penduduk tanpa mahu mendengar rintihan mereka.

Pengerusi Ajk Bertindak Kampung Jaya Sepakat, Azaman Hezri bercakap kepada media pada temu bual mengenai Penduduk yang terlibat dengan perobohan rumah oleh Kerajaan Negeri Selangor di Kampung Jaya Sepakat, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 16 JUN 2022.

Menurut Pengerusi AJK Bertindak Kampung Jaya Sepakat, Azman Hezri yang mewakili penduduk kampung itu berkata, 12 hingga 20 rumah sahaja yang menuntut pemberian hak pemilikan itu supaya tidak diganggu oleh Tropicana Aman Sdn. Bhd.

Azman mendakwa, dia sudah meninjau ke dalam kawasan projek pembinaan dan mendapati kawasan yang telah diratakan cukup besar hampir lebih 200 ekar.

“Saya dah buat survey sendiri dengan masuk ke dalam kawasan pembinaan dan saya tengok kawasan yang telah ditolak cukup besar, hampir lebih 200 ekar sedangkan projek Rumah Selangorku tu dalam 20 ekar sahaja.

“Untuk apa selebihnya? Memang untuk lot banglo lah agaknya,” katanya.

Beliau mendakwa, tuntutan hak pemilikan itu tidak sewajarnya menjadi masalah kepada Selangor kerana ia hanya melibatkan 20 rumah sahaja.

“Pada 17 Mac lalu, semasa hari pertama persidangan DUN, Menteri Besar telah mengeluarkan kenyataan bahawa sedang kenal pasti penduduk duduki tanah kerajaan, tawar hak milikan, jadi sekarang kami nak tuntut.

“Kami nak kerajaan walk the talk, jangan cakap sembang,” tambahnya.

Pengerusi Ajk Bertindak Kampung Jaya Sepakat, Azaman Hezri menunjukkan paparan skrin dan menyatakan rasa tidak puas hati kepada media semasa temu bual mengenai Penduduk yang terlibat dengan perobohan rumah oleh Kerajaan Negeri Selangor di Kampung Jaya Sepakat, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 16 JUN 2022.

Untuk rekod, pada sidang DUN itu, Amirudin telah meminta Pejabat Tanah dan Galian Selangor mengenal pasti penduduk yang tinggal di tanah milik kerajaan bagi proses tawaran pemilikan tanah.

Katanya, kaedah tersebut lebih baik berbanding menunggu mereka hadir ke pejabat untuk tujuan permohonan dan secara tidak langsung mewujudkan situasi lebih telus.

“Kita minta Pejabat Tanah dan Galian fikirkan jangan tunggu orang datang. Kita kena tawarkan atau kita kena buat kajian… ia lebih jitu serta wujud ketelusan dalam pentadbiran berbanding sebaliknya,” kata Amirudin Shari ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer, Mohd Sany Hamzan mengenai pemberi milikan tanah kerajaan kepada warga Selangor dan mereka yang menetap di negeri ini yang belum memiliki tanah.

Azman mendakwa, pemaju muktamad hanya menawarkan RM15,000 kepada mereka sebagai wang ihsan untuk kos perpindahan berbanding RM250,000 yang diminta daripada penduduk.

Penduduk, Shamsudin Mohd yang semasa temu bual mengenai Penduduk yang terlibat dengan perobohan rumah oleh Kerajaan Negeri Selangor di Kampung Jaya Sepakat, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 16 JUN 2022.

Seorang penduduk, Shamsudin Mohamad, 61, yang menghidap penyakit kanser paru-paru dan kini bergantung kepada mesin oksigen juga kecewa dengan sikap wakil rakyatnya, Dr. Siti Mariah Mahmud yang dahulu dipercayai dapat membela nasib penduduk.

Seperti sudah jatuh ditimpa tangga, wang sakunya habis untuk membeli ubat-ubatan, kini dihalau keluar dari rumah sendiri.

“Punya lah kecewa.. kita sokong dia, lepas tu dia ‘bunuh’ kita balik”

“Pemaju nak bagi pampasan RM15,000… daripada kosong tanah ni, kita bangunkan, api air pun kita uruskan.. saya rasa kalau RM15,000 tu baik simpan jelah,” katanya yang menaruh harapan pertimbangan Kerajaan Selangor memandangkan penduduk di situ adalah golongan berpendapatan rendah.

Shamsudin berkata, sebagai anak jati Negeri Selangor, dia rasa terhina apabila tidak mendapat pembelaan daripada Amirudin.

Penduduk, Mohd Zamri Md Yusoff semasa temu bual mengenai Penduduk yang terlibat dengan perobohan rumah oleh Kerajaan Negeri Selangor di Kampung Jaya Sepakat, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 16 JUN 2022.

Zamri Md Yusoff, 52, juga bingung dengan keputusan kerajaan negeri meluluskan permohonan hak pemilikan tanah kepada pemaju dan sanggup melihat penduduk di situ dihalau daripada tempat berteduh mereka.

Lebih menyedihkan permohonan yang hak pemilikan tanah mereka usulkan kepada kerajaan negeri tidak pernah mendapat khabar gembira, sebaliknya sentiasa ditolak.

Apabila ditanya mengenai wang pampasan yang ditawarkan oleh pemaju, dia menyifatkan pemaju seperti sudah kehilangan pertimbangan, seolah-olah penduduk di kampung itu tiada nilai dalam kehidupan.

“Kalau kita buat perbandingan keuntungan jumlah daripada projek, juta-juta dan jumlah pampasan yang diberikan RM15,000 sahaja. Orang utan yang berada di hutan pun akan diletakkan dalam santuari tertentu, malah diberikan rumah lagi kalau nak tebang hutan,” ujarnya sedih. – MalaysiaGazette