KUANTAN – Seorang peniaga kerugian RM1.5 juta dalam pelaburan tidak wujud tanamanĀ sejenis pokok yang didakwa membuahkan x-fruit dalam kawasan seluas 30 hektar.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pengadu berumur 38 tahun itu mendakwa ditawarkan pelaburan terbabit oleh seorang individu pada tahun 2014.

Menurut Ramli, pengadu mendakwa suspek memperdayanya dengan memaklumkan pokok berkenaan boleh diproses untuk menghasilkan bahan api kapal terbang.

“Pengadu telah dijanjikan memperolah keuntungan tiga kali ganda dari modal pelaburan dalam jangka masa tiga tahun,” kata Ramli dalam kenyataan hari ini.

Justeru, pengadu bersetuju untuk melabur dan mencari pelabur dari Kemboja untuk mengumpulkan wang pelaburan sebanyak AS$$500,000.

Pada pertengahan tahun 2015, pengadu kemudian memindahkan sejumlah RM1.5 juta ke dalam akaun suspek mnerusi tiga transaksi berbeza.

Namun, selepas hampir tiga tahun apabila pengadu cuba menghubungi suspek untuk bertanya mengenai pelaburan terbabit, panggilan telefonnya telah disekat.

Pengadu turut mendakwa sebarang usaha untuk mengesan suspek gagal lantasĀ  membuat laporan di Balai Polis Kuantan.- MalaysiaGazette