Mohd Shukhairy menunjukkan kesan terbabas pada kenderaan dinaiki suspek.

GEORGE TOWN – Tindakan seorang lelaki melarikan diri daripada pihak polis mengundang padah apabila dia diberkas bersama dadah jenis heroin bernilai RM120,00 di Jalan Besar, Nibong Tebal pada Rabu lalu.

Penahanan ke atas suspek berusia 36 tahun pada jam 3.50 petang itu turut membawa kepada tangkapan dua lagi ahli sindiket di Kuala Kurau, Perak serta Nibong Tebal pada hari yang sama.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Asisten Komisioner Mohd Shukhairy Abd Sabhe berkata, hasil pemeriksaan ke atas kereta yang dinaiki suspek pertama membawa kepada penemuan lebih sembilan kilogram heroin yang disembunyikan dalam plastik hitam di bahagian tempat duduk penumpang hadapan.

Mohd Shukhairy.

Katanya, selain dadah, polis turut merampas wang tunai RM50,000 dalam milikan suspek ketiga.

“Suspek pertama cuba melarikan diri sejauh 200 meter namun gagal selepas keretanya terbabas di tepi jalan.

“Siasatan lanjut mendapati ketiga-tiga suspek yang terdiri daripada nelayan serta penternak ikan itu aktif dalam pengedaran heroin di Pulau Pinang dan Perak sejak awal Januari lalu.

“Secara keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta berjumlah RM250,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Pulau Pinang hari ini.

Tambah Mohd Shukhairy, hasil ujian air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis methamphetamin.

“Selain itu, kesemua mereka juga mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

“Ketiga-tiga suspek direman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 31(1) akta yang sama,” ujar beliau. – MalaysiaGazette