Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Yahya bercakap kepada media mengenai keputusan SPM di Bangunan PERKIM, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 17 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Lima institusi pendidikan menengah bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mencatat kelulusan 100 peratus dalam Peperiksaan Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.

Perkara itu diumumkan Pemangku Ketua Eksekutifnya, Mohd Nizam Yahya, apabila 249 calon yang menduduki peperiksaan itu 100 peratus mendapat A dengan empat pelajar memperoleh keputusan cemerlang 12A.

Katanya, daripada 249 calon itu, 15 pelajar mendapat 11 A, diikuti 20 pelajar (10 A), 14 pelajar (9A) dan 28 pelajar (8A).

“Selebihnya, ada yang memperoleh 7A hingga 1A,” katanya pada sidang media di Bangunan Perkim, di sini, hari ini.

Beliau berkata, lima sekolah bawah MAIWP itu ialah Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz (SMISTA) dengan 65 calon SPM, Sekolah Menengah Aagama (SMA) MAIWP Kuala Lumpur (89 calon), SMA MAIWP Labuan (37 calon), Pondok Moden Al-Abaqirah (PMA) (44 calon) dan Markaz Sunnah Nabawiyah (MSN) (14 calon).

Bagi prestasi berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS), Mohd Nizam berkata, keseluruhannya menunjukkan peningkatan dan penurunan yang kecil.

“GPS SMISTA contohnya telah mencapai kedudukan terbaik iaitu 2.08 berbanding 2.55 pada 2020, manakala GPS MNS pula berada 2.49 berbanding 3.38 pada 2020.

“Namun, GPS SMA MAIWP KL menunjukkan sedikit penurunan, iaitu daripada 2.06 pada 2021 kepada 2.39. Begitu juga GPS SMA MAIWP Labuan menurun daripada 3.26 tahun 2020 kepada 3.92 tahun 2021.

“GPS PMA juga menunjukkan sedikit penurunan iaitu daripada 1.97 kepada 2.35,” katanya.

Menurut Mohd Nizam, penurunan itu berpunca daripada situasi pembelajaran dan perubahan silibus berikutan negara berdepan dengan pandemik Covid-19, menyebabkan calon atau pelajar berdepan kesukaran dalam pembelajaran.

Bagaimanapun, katanya, berdasarkan data daripada Bahagian Pendidikan Islam (BPI) Kementerian Pendidikan, kedudukan tiga sekolah MAIWP dalam kategori Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) ialah SMISTA 9/180, SMA MAIWP KL 11/180 dan SMA MAIWP Labuan 86/180.

Kedudukan terbaik bagi SABK ialah SAM Bestari dengan GPS 1.51, manakala PMA dan MSA tidak termasuk dalam kategori SABK.

Mengenai pencapaian pelajar cemerlang bagi lima sekolah bawah MAIWP itu, katanya, SMA MAIWP KL mencatatkan tujuh pelajar mendapat semua 11A, diikuti sembilan pelajar memperoleh 10A dan lapan (9A), manakala SMA MAIWP Labuan pula mencatatkan seorang pelajar mendapat 10 A. – MalaysiaGazette