Anggota polis mengusung keranda yang mengandungi mayat yang ditemui di Amazon. Foto Reuters

SAO PAULO – Bedah siasat forensik yang dijalankan ke atas mayat manusia yang ditemui di hutan hujan Amazon mengesahkan ia milik wartawan Britain, Dom Phillips, kata polis persekutuan Brazil.

Pengesahan itu berdasarkan rekod gigi.

Polis masih menjejaki seorang lagi lelaki yang disyaki terlibat dalam pembunuhan ini.

Dalam satu kenyataan, polis berkata, bedah siasat masih dijalankan untuk menentukan punca kematian.

Mayat orang kedua, dipercayai pakar Orang Asli, Bruno Pereira, masih dalam analisis, menurut laporan CNN Brazil.

Phillips, seorang wartawan bebas yang menulis untuk Guardian dan Washington Post, sedang melakukan penyelidikan untuk sebuah buku mengenai perjalanannya dengan Pereira.

Polis berkata, siasatan mereka mencadangkan terdapat lebih ramai individu terlibat dalam pembunuhan ini dan polis kini sedang mencari lelaki bernama Jeferson da Silva Lima.

Dia adalah suspek ketiga yang dinamakan polis selepas Oliveira dan abangnya, Oseney da Costa, yang telah ditahan minggu ini.

“Terdapat waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Negeri Atalaia do Norte terhadap Jeferson da Silva Lima, atau dikenali sebagai ‘Pelado da Dinha’, yang belum dapat lagi dikesan.

Polis berkata, siasatan menunjukkan pembunuh bertindak sendirian dan bukan arahan organisasi jenayah.

Kumpulan Orang Asli Tempatan Univaja, bagaimanapun, yang memainkan peranan utama dalam pencarian ini berkata: “Kekejaman jenayah itu menjelaskan Pereira dan Phillips bersilang jalan dengan sebuah pertubuhan penjenayah yang cuba sedaya-upaya untuk menutup jejaknya semasa penyiasatan”.

Kumpulan ini mendakwa, pihaknya telah memaklumkan polis persekutuan beberapa kali sejak akhir 2021 bahawa terdapat kumpulan jenayah terancang yang beroperasi di Lembah Javari. – Reuters