Mohd Zubil Mat Som (depan) melihat bot yang diterima pihak maritim Johor di Majlis Penyerahan RHFB kelas Pertama di Terminal Feri Antarabangsa Stulang Laut hari ini.

JOHOR BAHRU – Sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) berlaku setiap malam sejak sempadan antarabangsa dibuka pada April lalu.

Masa dipilih untuk membolosi perairan negara antara jam 8 malam hingga 4 pagi, kata Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som.

“Bagaimanapun cubaan sindiket ini kebanyakannya berjaya kita patahkan menerusi operasi bersepadu dengan melakukan kawalan dan rondaan di kawasan sempadan perairan negara.

“Biasanya bila mereka (PATI) patah balik, mereka akan cuba lagi, ini akan dilakukan secara berterusan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlid Penyerahan Rigid Hull Fender Boat (RHFB) Kelas Pertama di Berjaya Waterfront Hotel hari ini.

Mohd Zubil berkata, kemasukan warga asing ini berlaku kerana terdapat permintaan (pasaran kerja) dalam sektor-sektor seperti perkilangan, pertanian dan perladangan.

Mohd Zubil sebelum itu menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU)  antara Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Shaiful Lizan Ibrahim dengan Pengerusi Dalac Marine Engineering dan Services Sdn Bhd, Datuk Pahlawan Zakaria Yusof bagi penyerahan RHFB itu.

Beliau berkata, pihak maritim melakukan 442 tangkapan atas pelbagai kesalahan dan merekodkan RM55.8 juta hasil rampasan mulai awal tahun sehingga 10 Jun lalu.

Jumlah berkenaan adalah hasil daripada 76,026 pemeriksaan dijalankan, selain 12,764 penggeledahan dilakukan dalam tempoh berkenaan.

Menurut rekod, sebanyak 46 kes kesalahan pencerobohan bot nelayan asing membabitkan 405 kru, 80 kes berkaitan Akta Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO), 31 kes lagi berkaitan penyeludupan dadah, ketum dan rokok.

Selain itu, 93 kes merekodkan penyeludupan pelbagai termasuk PATI.

Beliau berkata, dalam usaha memperkasa penguatkuasaan di perairan negara, maritim telah menerima 30 bot RHFB Kelas Perkasa bernilai RM46.5 juta bagi menggantikan bot sedia ada yang menjangkau usia 17 tahun.

“Bot pemintas yang sedia ada akan dilupuskan secara berperingkat dan digantikan dengan bot baharu yang berukuran panjang 12 meter dengan 3 enjin berkapasiti 350 kuasa kuda setiap satu dan ia boleh mencapai kelajuan maksimum sehingga 48 knot.

“Bayangkan bot yang menceroboh perairan atau melakukan kegiatan haram memiliki sehingga lima enjin, sekaligus menimbulkan kesulitan bagi anggota maritim bagi mengambil tindakan dengan pantas atau memintas sebelum ini,” katanya.

Dalam masa sama katanya, maritim dijangka menerima aset baharu termasuk enam unit helikopter dan kapal logistik ‘multi purpose machine’ dalam tempoh beberapa tahun lagi. – MalaysiaGazette