Har Man Ahmad

JAKARTA – Beberapa syarikat konglomerat Malaysia sedang dalam proses perbincangan untuk mendapatkan projek-projek pembangunan mega di Indonesia dengan nilai keseluruhan dianggarkan antara RM5 bilion dan RM7 bilion.

Menurut Pesuruhjaya Perdagangan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di Jakarta, Har Man Ahmad, projek itu termasuk pembangunan kawasan Rebana Metropolitan di Jawa Barat dan pembinaan lebuh raya Solo-Yogyakarta yang merupakan sebahagian daripada projek Lebuhraya Trans-Jawa.

“Penglibatan syarikat-syarikat dari Malaysia masih lagi dalam perbincangan dan akan dimuktamadkan dalam masa yang terdekat.

“,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis perasmian Pavilion Malaysia oleh Kuasa Usaha Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Adlan Mohd Shaffieq, di acara pameran Megabuild Indonesia 2022 di sini, hari ini.

Pada masa sama, Har Man turut menggesa agar komuniti perniagaan Malaysia terus meneroka peluang di Indonesia yang disifatkan beliau sebagai sempadan baharu bagi pembangunan masa depan syarikat masing-masing.

“Kalau kita sedang melihat Malaysia mencatat pemulihan ekonomi bagi tempoh pasca COVID-19, begitu jugalah (keadaannya) di Indonesia,” katanya.

Dalam pada itu, sejumlah 15 syarikat perkhidmatan pembinaan dan bahan bangunan Malaysia menyertai pameran Megabuild Indonesia 2022 itu untuk kali pertama, termasuk syarikat perkhidmatan perundingan kejuruteraan, SD Associates Sdn Bhd.

Malah, majlis itu turut menyaksikan pemeteraian perjanjian antara SD Associate dan Forum Komunikasi Masyarakat Kawasan Kikim.

Di bawah perjanjian itu, SD Associate telah dilantik sebagai pengurus projek perancangan bandar seluas 1,400 kilometer persegi di kawasan yang bakal menjadi autonomi baharu iaitu Daerah Kikim, Wilayah Sumatera Selatan di Sumatera. – Bernama