Mohd Zaidy Abdul Kadir

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Negeri Sembilan menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat segera pendedahan pemberian RM1.3 juta oleh sebuah syarikat kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketuanya, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir menyifatkan pemberian wang itu mempunyai unsur rasuah, yang memerlukan siasatan dilakukan secara teliti agar memberi keadilan kepada pihak lain yang dituduh iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, kalau tidak kerana saksi dari syarikat Ultra Kirana Sdn. Bhd. (UKSB) mendedahkan pemberian wang itu kepada beberapa pemimpin lain di mahkamah, rakyat akan menganggap Presiden UMNO seorang sahaja yang menerima rasuah.

“Seharusnya, SPRM perlu bersikap adil dalam melakukan penyiasatan, apatah lagi tuduhan itu dibimbangi berlaku sebagai balasan perniagaan kepadanya yang ketika itu adalah Menteri Dalam Negeri.

“Muhyiddin juga perlu letak jawatan sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) bagi memberi peluang kepada pihak berkuasa melakukan siasatan terhadapnya secara telus dan adil,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jumaat lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu, Muhyiddin yang merupakan bekas Menteri Dalam Negeri turut menerima sumbangan dana politik RM1.3 juta daripada UKSB pada 2018.

Selain Muhyiddin, lima nama ahli politik disebut ketika perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid ialah Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Anifah Aman.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Ahmad Zahid, Datuk Ahmad Zaidi Zainal; bekas Pengurus Pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun, 47, berkata Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh menerima sumbangan wang tunai RM300,000 pada 4 Jun 2018; RM500,000 (4 Julai 2018) dan RM500,000 (23 Ogos 2018) berdasarkan buku lejar syarikat itu.

Saksi pendakwaan ke-17 itu berkata, kod nama ‘TSM’ dalam lejar ialah Tan Sri Muhyiddin, manakala ‘Team Pagoh’ adalah nama projek.

Mohd Zaidy yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jempol mengingatkan Muhyiddin supaya tidak lagi bersandiwara dengan memaparkan konon dirinya bersifat bersih dan bebas rasuah.

Hakikatnya, ujar beliau, pendedahan di mahkamah itu telah membuka pekung di dada Muhyiddin sendiri yang selama ini gemar menuduh lawannya konon terlibat dengan salah guna kuasa. – MalaysiaGazette