Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Pengerusi DAP, Lim Guan Eng mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah digunakan sebagai alat politik.

Tuduhan tersebut dibuat selepas SPRM didakwanya idak mengambil tindakan untuk menyiasat beberapa individu yang disebut oleh saksi kes melibatkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah menerima wang daripada Ultra Kirana Sdn. Bhd (UKSB).

“Saksi daripada UKSB telah mendedahkan di mahkamah bahawa dia telah memberikan wang kepada beberapa menteri dan termasuklah seorang bekas perdana menteri. Saksi ini adalah saksi pihak pendakwaan maka saksi juga adalah saksi SPRM sendiri.

“Bagaimana SPRM boleh berlagak bahawa mereka tidak tahu tentang perkara ini dan hanya menyatakan akan membuka siasatan selepas perkara ini didedahkan di mahkamah dan setelah ditekan orang awam.

“Takkan SPRM tidak tahu? Jika Zahid Hamidi didakwa di mahkamah kerana terima rasuah, mengapa mereka yang lain yang terima wang daripada UKSB tidak didakwa? Kalau Zahid Hamidi bersalah terima rasuah, mereka yang lain juga turut salah,” kata Guan Eng di Twitternya.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, tindakan SPRM sangat mengecewakan sambil mendakwa terdapat amalan dua darjat dan pilih kasih dilakukan oleh suruhanjaya itu.

“Malangnya VIP-VIP tersebut tidak didakwa. Jawatan bekas Perdana Menteri jelas menunjukkan SPRM memang dijadikan senjata politik untuk menfaat pihak berkuasa.

“Adakah SPRM tidur atau sengaja mahu menutup perkara ini? Jika benar, lebih baik SPRM tukar nama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kepada Suruhanjaya Penutup Rasuah Malaysia.

“Tindakan SPRM sebegini rupa sangat mengecewakan. Jelas bahawa terdapat amalan dua darjat dan pilih kasih yang dilakukan oleh SPRM. Jelas bahawa SPRM telah gagal dan telah digunakan sebagai alat politik,” kata Guan Eng.

Justeru bagi memulihkan keyakinan terhadap agensi itu, beliau menyarankan satu perubahan secara menyeluruh dilakukan terhadap SPRM termasuk mengkaji semula kedudukan Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Sebelum ini, nama Muhyiddin ‘tular’ apabila disebut sebagai salah seorang penerima dana berjumlah kira-kira RM1.3 juta daripada UKSB yang merupakan syarikat pembekal perkhidmatan visa luar negara (VLN).

Perkara itu didedahkan saksi pendakwaan ke-17 David Tan dalam pemeriksaan balas oleh peguam, Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili Ahmad Zahid ketika menunjukkan kandungan buku lejar disimpan dalam sebuah pendrive.

Dalam perbicaraan itu, turut disebut bahawa Muhyiddin didakwa menerima dana berkenaan kurang sebulan kembali ke Putrajaya sebagai Menteri di Kementerian Dalam Negeri ketika Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan selepas Barisan Nasional tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 pada Mei 2018.

Bagaimanapun Muhyiddin  tampil membuat kenyataan menafikan menerima sebarang wang tunai daripada UKSB.

Ahli Parlimen Pagoh itu menjelaskan kenyataan yang dibuat oleh wakil UKSB tersebut kepada pihak mahkamah adalah palsu.-MalaysiaGazette