Bruno Pereira (kiri) dan Dom Phillips dalam rakaman gambar pada tahun 2018. Foto The Guardian

BRASILIA – Lapan orang kini disyaki terlibat dalam pembunuhan wartawan British, Dom Phillips dan pakar pribumi Bruno Pereira, kata polis.

Tiga suspek telah pun ditahan.

Lima lagi suspek yang didakwa terlibat membantu menyembunyikan mayat-mayat sudah dikenal pasti.

Phillips dan Pereira hilang semasa dalam perjalanan ke Lembah Javari yang terpencil di barat jauh Brazil pada 5 Jun lalu.

Mayat Phillips dan Pereira telah disahkan pada hari Jumaat, selepas salah seorang suspek dalam tahanan – Amarildo da Costa de Oliveira – dilaporkan mengaku mengebumikan mayat mereka dan membawa polis ke satu tempat dalam hutan hujan Amazon.

Abangnya, Oseney da Costa de Oliveira, turut ditahan, tetapi dia menafikan sebarang penglibatan dalam kes tersebut.

Tangkapan ketiga diikuti pada hari Sabtu ke atas suspek bernama Jeferson da Silva Lima – juga dikenali sebagai Pelado da Dinha – yang menyerahkan diri selepas melarikan diri, kata polis.

Akhbar berita Brazil, O Globo melaporkan lima suspek baharu itu didakwa turut membantu menyembunyikan mayat di kawasan yang sukar ditemui polis jika mereka tidak dibawa untuk menunjukkan tempat.

Tiada nama atau butiran lanjut mengenai suspek baharu diberikan.

Pada hari Sabtu, polis mendedahkan Phillips dan Pereira telah ditembak menggunakan peluru berburu.

Phillips ditembak sekali, manakala Pereira ditembak tiga kali, tambah polis. – BBC

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast