Abdullah Husin bercakap pada sidang media khas PAS di Pejabat Badan Perhubungan Pas Negeri Johor, Bandar Baru Uda, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 01 MEI 2018.
Abdullah Husin.

KUALA LUMPUR – Pas Johor teguh bersama pendirian partinya peringkat Pusat untuk menolak khemah besar dengan parti lain dalam Pakatan Harapan (PH).

Pesuruhjayanya, Abdullah Husin berkata, pihaknya akan terus memberikan fokus kepada penyatuan ummah dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Pas teguh berdiri di atas prinsip perjuangan demi melihat Islam dipelihara sebagaimana termaktub di dalam perlembagaan Persekutuan.

“Pas melalui pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) terus berusaha dan menyeru ke arah penyatuan ummah yang menyeluruh. Ini adalah penting bagi menjamin kestabilan dan kesejahteraan negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Abdullah, Pas juga tidak akan meminggirkan masyarakat bukan Islam yang tidak ekstrem untuk bersama dalam penyatuan ummah secara menyeluruh di mana semua pihak saling menghormati dan bertoleransi serta sama-sama menjunjung Perlembagaan negara termasuk menghormati status quo.

Tegasnya, Pas menolak khemah besar kerana parti itu tidak lupa pengalaman berada di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan hingga mewujudkan keadaan tidak stabil dalam negara. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pas tolak khemah besar, tumpu penyatuan ummah untuk PRU15