logo mahlamah

KUALA LUMPUR – Seorang peniaga perabot terpakai mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki senjata api tanpa kebenaran sah, enam tahun lepas.

Lim Keng Hong, 46, didakwa memiliki sepucuk pistol berwarna emas dengan pemegang hitam di Jambatan Sungai Batu, Jalan Ipoh di sini pada 10.30 pagi 14 Februari 2016 mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman maksimum penjara 14 tahun dan enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Peguam Revin Kumar memohon agar Lim dibenarkan ikat jamin selaras dengan peruntukan Seksyen 388 Kanun Tatacara Jenayah walaupun kesalahan itu tidak boleh dijamin.

“Anak guam saya mempunyai seorang ibu berumur 85 tahun yang terlantar dan perlu menjaga kos perubatan serta perbelanjaan ibu dan anaknya. Dia sendiri mempunyai penyakit jantung serta darah tinggi dan perlu mengambil ubat setiap hari,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Abdul Khaliq Nazeri pula berkata, Seksyen 12(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) memperuntuk secara spesifik bahawa jaminan tidak boleh dibenarkan bagi seseorang yang didakwa atas kesalahan itu.

“Tertuduh sebelum ini gagal hadir ke mahkamah sebanyak dua kali sehingga waran tangkap dikeluarkan terhadapnya. Oleh itu, atas faktor-faktor tersebut saya pohon tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin,” katanya.

Hakim Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi tidak membenarkan Lim diikat jamin dan menetapkan 20 Julai ini untuk sebutan kes bagi serahan dokumen. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast